Wednesday 27 July 2016

Mana hilang Khairy, tanya Zam

 khairy-1
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bukan naib ketuanya adalah orang yang sesuai membuat laporan polis menuduh bekas gabenor Bank Negara Malaysia, bekas peguam negara dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan.

“Saya agak hairan kenapakah dalam tindakan yang bagitu penting ini yang melibatkan kepentingan maruah Perdana Menteri Malaysia dan nama baik Malaysia, Khairy sendiri sebagai Ketua Pemuda Umno tidak tampil ke hadapan?” tanya bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

“Adakah beliau tidak mahu terlibat dalam tindakan keperwiraan Pemuda UMNO mempertahankan maruah negara itu sebagai tanggungjawab parti?”

Beliau mengulas tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis semalam menuduh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Datuk Seri Abu Kassim Mohamed terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan membekalkan maklumat sulit tanpa restu kerajaan.

“Saya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai bahawa individu yang dinamakan ada secara berseorangan dan/atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia yang sah,” kata Khairul dipetik FMT daripada laporan polis.

Ia susulan permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyita aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion atas tuduhan melesapkan wang, iaitu kes korupsi terbesar di negara itu.

Zainuddin mempersoalkan bagaimana Khairul Azwan boleh tahu maklumat yang dikatakan dibekalkan ketiga-tiga individu itu adalah sulit tanpa melihatnya sendiri.

“Siapakah yang membocorkan rahsia sulit negara kepada mereka. Patutnya Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan yang ditangkap untuk siasatan. Janganlah nak ditolak polis sampai ke tembok,” kata beliau dalam blognya, yang turut mahu Khairy menjelaskan sama ada beliau mepersetujui tindakan Khairul Azwan.

- FMT

No comments: