Thursday 28 July 2016

Kajian terperinci perlu sebelum benar tanam ketum secara komersil

 
Kajian terperinci dan penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum pokok ketum dibenarkan ditanam secara
komersial di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi.

Beliau berkata langkah itu antara lain bertujuan mengekang penyalahgunaan tanaman ketum yang boleh memudaratkan kesihatan jika tidak dikawal.
"Kajian secara mendalam (saintifik) perlu dibuat terlebih dahulu kerana saya khuatir jika kebenaran diberikan, penanam akan mengambil kesempatan menjual bagi tujuan salah guna.

"Kita tidak mahu lihat kesan buruk menimpa masyarakat memandangkan umum mengetahui tanaman ini ditanam berleluasa di negara ini, memudahkan mereka yang menyalahgunanya mendapatkan bekalan," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin, memohon kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum secara komersial bagi menambah pendapatan pekebun.

Dalam kenyataannya di Kuala Nerus, Terengganu kelmarin, Zahidi berkata daun ketum yang didakwa mempunyai nilai perubatan tinggi itu akan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana mendapat permintaan tinggi dari syarikat farmasi di sana.

Dr Abdul Shukor berkata pihak bertanggungjawab perlu menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap tanaman ketum bagi membuktikan tumbuhan itu mempunyai khasiat terhadap kesihatan manusia.

Senada dengan Dr Abdul Shukor, Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Izham Nayan juga menyarankan agar kerajaan meneliti cadangan tersebut secara komprehensif bagi mengelakkan kesan jangka masa panjang terhadap masyarakat dan negara.

Katanya, umum mengetahui tanaman dengan nama saintifiknya Mitragyna Speciosa Korth itu sering disalah guna dengan menjadikan daun ketum sebagai bahan asas sebelum dicampur dengan pelbagai bahan lain sehingga membuatkan mereka yang mengambilnya khayal.

"Kesan daun ketum yang dicampur dengan bahan lain lebih kurang sama dengan pengambilan dadah, kita bimbang kesan buruk terhadap kesihatan," katanya.
Secara tradisional, daun ketum perlu direbus atau dikunyah sebagai penawar sakit perut, batuk, menyahcacing dalam usus, luka serta menambahkan kecergasan.

Izham berkata usaha Risda yang mahu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang selama ini hanya bergantung kepada hasil getah disambut baik namun tanaman ketum bukanlah alternatif terbaik.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Putra Infoport Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad menyarankan Risda menggalakkan pekebun kecil menanam serai, halia, tongkat ali dan sebagainya bagi menghasilkan ubat tradisional seperti jamu.

"Di Indonesia, rakyatnya menaman pokok-pokok herba yang kita lihat berjaya menghasilkan jamu sehingga dipasarkan ke seluruh negara. Mereka jalankan penyelidikan untuk hasilkan perubatan berasaskan herba dan terbukti berjaya," katanya.

Beliau yang juga AJK Kluster Pertanian dan Makanan MPN berkata suhu Malaysia amat sesuai untuk penanaman herba, maka Risda boleh mengambil faedah daripada faktor itu untuk menggalakkan pekebun kecil dengan mewujudkan perusahaan projek perintis tanaman herba.

"Boleh usahakan tanaman lain yang tidak bawa kesan buruk malah tidak punyai rekod salah guna. Kita juga tidak mahu ada pengusaha tanaman ambil kesempatan bila ada tawaran harga tinggi," katanya.

- Bernama

No comments: