Thursday 28 July 2016

Hanya PKR perasan bahaya rancangan DAP, kata penganalisis

 mustafa-pkr-dap-bn-1
PETALING JAYA: Hanya PKR yang perasan bahaya rancangan DAP yang mahu mengadakan pilihan raya kilat di Pulau Pinang, kata penganalisis.

Malah itulah sebenarnya punca pergaduhan terbaharu antara dua komponen Pakatan Harapan (PH) itu, kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

“Ini bukan kali pertama parti-parti pembangkang bercakaran secara terbuka,” katanya.

“PKR betul kerana nampak tiada ada keperluan yang jelas untuk memanggil pilihan raya kilat di sana (Pulau Pinang). Selalunya kerajaan membubarkan dewan undangan negeri atau Parlimen sekiranya mereka rasa perlu kembali kepada rakyat dan mohon mandat.”

Pembentukan kerajaan baharu yang diinginkan DAP itu tidak memberi manfaat bermakna kepada PH kerana pakatan itu sebenarnya tidak memerlukan mandat baharu, selepas mendapat sokongan yang kuat dalam pilihan raya lepas, tambahnya.

“Mungkin PKR terfikirkan sekiranya pilihan raya kilat dipanggil, BN akan turun dengan sepenuh kekuatan dan menumpukan seluruh jenteranya di negeri itu,” katanya.

Pembangkang tumpas melawan BN dalam dua pilihan raya kecil di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada Jun, dan pilihan raya negeri Sarawak Mei lalu.

Berlatarkan kelemahan pakatan pembangkang ketika ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berhasrat menubuhkan sebuah parti politik, dan mahu membentuk sejenis pakatan baru dengan kumpulan politik yang sudi bersamanya.

“Pilihan raya kilat belum pun bermula mereka sudah bergaduh,” kata Prof Mohd Faisal Syam Abdol Hazis.

Pengkaji di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa itu berkata PH sepatutnya menggunakan platform majlis presiden untuk mendebatkan perbezaan pendapat antara mereka, bukannya menunjukkan kelemahan masing-masing kepada orang-ramai.

“Pada asasnya, langkah memanggil pilihan raya kilat tidak membantu pembangkang dan akan hanya memecahkan mereka,” katanya.

- FMT

No comments: