Sunday 31 July 2016

Siri Jelajah Pembangkang Tak Beri Kesan Pada Kerajaan - Johari

Johari Abdul Ghani
KUALA LUMPUR: Siri jelajah pembangkang bagi menerangkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan memberi kesan kepada kerajaan, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, ini kerana isu berkenaan 1MDB bukanlah satu perkara yang baharu, malah sudah mula dipermainkan pihak pembangkang sejak tiga tahun lepas. 
Katanya, keutamaan sepatutnya diberikan dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengenai isu berkenaan supaya perkara yang sama tidak berulang kembali.
"Kita tidak boleh halang pihak tertentu untuk mengadakan program jelajah ke seluruh negara, perkara ini (jelajah) sudah pun berlaku sekian lama, kebanyakan isu yang diperkatakan adalah isu lama dan tiada perkara baharu yang hendak diterangkan kepada rakyat.
"Lebih baik mereka berusaha mencari jalan penyelesaian, itu lebih penting daripada berterusan 365 hari bercerita mengenai 1MDB seperti tiada isu lain," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Belia Kawasan Titiwangsa di sini, Ahad.
Pada Sabtu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR dan Pakatan akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh negara yang akan disertai rakan-rakan mereka di dalam kem pembangkang, termasuk rakan-rakan baharu yang dulunya berada dalam Umno.
Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, adalah lebih baik sekiranya isu yang berbangkit mengenai 1MDB diserahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan. 
"Kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang perkara mengenai 1MDB, jika kita memang mahu menyembunyikan sesuatu sudah pasti kita tidak akan melantik Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara untuk menyiasat isu ini," katanya. 
- Bernama

No comments: