PETALING JAYA: Tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ)
menyita aset berkait syarikat pelaburan milik negara 1MDB bernilai AS$1
bilion adalah kerana penyelewengan itu berlaku di negara terbabit.
Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan
Saiful Wan Jan berkata tindakan itu juga tidak menunjukkan yang negara
itu mencampuri urusan Malaysia.
“Dia (Idris) tiba-tiba timbulkan mengenai Perang Teluk, kuasa besar,
PBB, sedangkan Amerika tidak langsung masuk campur dalam apa yang
berlaku di Malaysia.
“Saya rasa itu yang menyebabkan orang akan ketawakan kenyataan yang macam ini,” katanya kepada FMT.
Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib
Presiden PAS Idris Ahmad yang menafikan parti itu membela Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan langkah DoJ mendedahkan korupsi
dan kecurian wang dalam 1MDB.
Sebaliknya, beliau berkata parti itu hanya mahu mengingatkan mengenai sejarah kuasa besar itu apabila melibatkan negara Islam.
“Siapa tidak kenal Amerika terhadap negara umat Islam. Kononnya Osama Bin Laden sembunyi di Afghanistan, apa yang terjadi selepas itu.
“Memburu kumpulan al-Qaeda di Iraq, selepas itu apa yang terjadi. Di Syria atas nama hendak memerangi IS, rakyat Syria menderita. Ini peringatan umum. PAS konsisten mengenai hal kedaulatan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful mengakui isu yang ditimbulkan Idris itu betul tetapi komen yang dibuatnya pada masa sekarang akan membuatkan pelbagai spekulasi.
“Spekulasi ini seolah-olah PAS tidak bersungguh-sungguh untuk menjadi parti pembangkang yang efektif. Jadi seolah-olah dia lebih banyak mempertahankan Najib dan saya tidak terkejut sekiranya ada orang yang menuduh mereka digula-gulakan Umno dan parti berkuasa.
“Walaupun mungkin tidak benar mereka menjadi pembela kepada Umno dan Najib, tetapi itulah implikasi kepada kenyataan yang tidak kena masa ini,” katanya.
Berbeza dengan Wan Saiful, Penganalisis Politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan Idris yang hanya mahu mengingatkan sejarah kuasa besar
Amerika Syarikat apabila melibatkan negara Islam.
“Kita kena berhati-hati apabila berurusan dengan kuasa besar. Tak kira ada lima kuasa besar di dunia ini. China ke, Perancis ke, British ke, Amerika ke dan Rusia. Kena berhati-hati.
“Kita jangan ikut pengalaman negara Arab yang tidak demokratik. Kita mengamalkan negara demokratik, jadi kita juga perlu secara berhati-hati bila berhubung atau memberi respons kepada kenyataan yang dibuat kuasa besar,” katanya.
- FMT
No comments:
Post a Comment