Perth – Penyiasat
kemalangan dari Australia mendedahkan kepada AirlineRatings.com bahawa
data menunjukkan MH370 mungkin menurun pada tahap sehingga 20,000 kaki
(6700 meter) seminit dalam detik-detik sebelum ia jatuh ke dalam laut
bersama-sama 239 orang penumpang dan anak kapal.
Dalam temu bual beliau yang pertama
selepas mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bagi Biro Keselamatan
Pengangkutan Australia (ATSB), Greg Hood memberitahu AirlineRatings.com
di Perth, Australia Barat, bahawa komunikasi satelit automatik dengan
Boeing 777 pada minit-minit terakhirnya menunjukkan bahawa kadar
penurunan pesawat itu meningkat secara mendadak daripada kira-kira 5,400
kaki (1200 meter) seminit sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit.
Peningkatan besar itu menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa sedang mengendalikan pesawat itu, kata beliau.
Wawancara eksklusif dengan
AirlineRatings.com itu diadakan selepas beberapa media memetik satu
laporan FBI yang dibuat dua tahun lalu mengenai satu program simulator
penerbangan yang dimiliki oleh juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad
Shah di komputer di rumahnya yang mendakwa beliau telah meluncurkan
pesawat Boeing 777 itu dalam satu pendaratan ke dalam air yang terkawal
dan bahawa ATSB sedang membuat pencarian di tempat yang salah.
Hood juga memberitahu AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu bukan sesuatu yang baharu.
“Kami telah mengetahui mengenai laporan
FBI itu selama dua tahun dan ia telah dilaporkan secara meluas di dalam
media pada masa itu. Ia bukan satu perkara baharu.”
Namun Hood menegaskan kepada AirlineRatings.com bahawa laporan FBI
itu hanya “berkemungkinan menunjukkan terdapat perancangan dan mungkin
niat, tetapi ia tidak memberitahu kita di mana pesawat itu berada.
“MH370 hilang dalam keadaan penuh
misteri pada 8 Mac 2014, selepas perhubungan dari pesawat itu terputus
semasa apa yang sepatutnya adalah satu penerbangan rutin dari Kuala
Lumpur ke Beijing.
Bagaimanapun Hood masih yakin untuk menemui MH370 pada bulan-bulan akan datang.
Ketua Pengarang AirlineRatings.com,
Geoffrey Thomas berkata, pendedahan baharu oleh ATSB ini “menjelaskan
lebih banyak maklumat mengenai saat-saat akhir tragedi MH370 itu.”
“Adalah amat penting bahawa ATSB, bagi
pihak pasukan pencarian pelbagai negara itu, melenyapkan spekulasi yang
merosakkan tentang apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku pada
MH370,” kata Thomas.
Wawancara lengkap AirlineRatings.com
bersama Encik Hood boleh diperoleh
di http://www.airlineratings.com/news.php?s&id>739.
AirlineRatings.com ditubuhkan pada 2013 dan satu-satunya laman web penarafan keselamatan dan produk di dunia.
Laman web itu mentakrifkan tahap keselamatan bagi 450 daripada syarikat penerbangan yang terbesar di dunia.
– BH Online
No comments:
Post a Comment