Tuesday 26 July 2016

Khairuddin gesa polis siasat individu dalam saman DOJ

 
Bekas Naib Pengerusi Umno, Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana 1MDB berikutan tindakan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas kembali aset AS$1 bilion yang didakwa dicuri itu.

Khairuddin, antara orang kanan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata DOJ menamakan empat rakyat Malaysia dalam tuntutannya, iaitu ahli perniagaan Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low), sekutunya Eric Tan, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan individu yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1'.
Katanya, beliau telah memeliti dokumen DOJ yang memperincikan penyelewengan dana 1MDB untuk pembelian aset di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Oleh itu, beliau menggesa pihak polis untuk menyiasat urus niaga dan individu-individu yang dinamakan dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

"Sebagai warganegara yang prihatin, saya membuat laporan rasmi meminta polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan lengkap mengenai penyelewengan dana 1MDB dan juga individu yang dinamakan," katanya dalam laporan polis yang dibuat di Dang Ibu Pejabat polis daerah Wangi lewat malam semalam.

Berdasarkan penerangan dalam saman sivil itu, Khairuddin berkata beliau yakin bahawa 'Malaysia Official 1' adalah Najib.

Menurut beliau, sebelum tindakan undang-undang oleh DOJ, banyak skandal 1MDB didedahkan oleh pelbagai pihak tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap sebarang ahli lembaga pengarah mahupun pegawai 1MDB.

DOJ pada 20 julai lalu mengumumkan saman sivil berhubung dakwaan penyelewengan dana berkaitan 1MDB.

Ia mendakwa lebih AS$ 3.5 bilion diseleweng daripada 1MDB sepanjang beberapa tahun lalu dan menamakan beberapa individu termasuk penjawat awam yang tidak dinamakan tetapi dirujuk berulang-kali sebagai 'Malaysian Official 1' antara mereka yang mendapat manfaat.

September lalu, Khairuddin ditangkap dan ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa cuba mensabotaj negara ini selepas beliau ke beberapa negara dengan peguamnya untuk membuat laporan mengenai 1MDB.

- MK

No comments: