Thursday 25 August 2016

Dr Mahathir: Kita bangsa Malaysia, bukan Johor, bukan Kedah

mahathir
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegur sesetengah pihak yang mengutarakan retorik kenegerian seperti yang kerap kedengaran dari Johor sehingga menyentuh soal keluar daripada persekutuan Malaysia.
“Kita sepatutnya menggelar diri sebagai bangsa Malaysia, bukan sebagai bangsa Johor atau Kedah. Ia akan memecahkan kesatuan persekutuan,” katanya ketika diminta mengulas istilah “Bangsa Johor” yang kerap digunakan sesetengah pihak.
Dr Mahathir berkata kemakmuran Johor sebahagiannya ekoran dasar kerajaan persekutuan antaranya membolehkan negeri itu bersaing dengan jirannya, Singapura.
“Untuk bersaing dengan Singapura, kita membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Ia bukanlah lokasi terbaik, tetapi untuk menarik lebih banyak aktiviti perkapalan daripada ke Singapura dan ke Malaysia melalui Johor.
“Kebanyakan pembangunan di Johor sebenarnya kerana kerajaan persekutuan kerana kita perlu bersaing dengan Singapura dan Johor berhampiran dengannya,” katanya sambil menyebut langkah kerajaan membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Petronas dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.
Retorik “Bangsa Johor” kerap dikaitkan dengan kelab bola sepak Johor Darul Takzim yang dipimpin Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail juga sebelum ini pernah menasihati agar pihak yang “tidak senang hati” dengan Johor membawa usul kepada kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan negeri itu daripada persekutuan.
Dr Mahathir berkata seseorang itu bebas mempromosikan idea seperti “Bangsa Johor” merupakan hak kebebasan tetapi tidak sekiranya ia menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.
“Malaysia menjadi makmur selepas merdeka kerana kita bersatu dalam bentuk persekutuan dan saling menyokong,” katanya selepas menyampaikan syarahannya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Beliau turut menentang cadangan beberapa pihak tertentu sebelum ini yang menggesa kerajaan Kedah mengambil semula Pulau Pinang, namun menggesa kerajaan Kedah meminta bayaran yang lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan.
Dalam perjanjian 1786, Syarikat Hindia Timur British memajak Pulau Pinang dengan membayar 6,000 Dolar Sepanyol setahun kepada Kesultanan Kedah, yang kemudiannya dinaikkan kepada 10,000 dolar Sepanyol. Selepas Merdeka, ia diteruskan dengan kerajaan persekutuan membayar RM10,000 setahun kepada kerajaan negeri.
Dr Mahathir berkata bayaran itu jauh lebih kecil berbanding 10,000 Dolar Sepanyol atau “silver dollar”.
“Sebelum saya meletakkan jawatan, saya pernah mencadangkan kerajaan negeri agar meminta bayaran yang sama nilainya dengan 10,000 Dolar Sepanyol ini,” katanya.
- FMT

No comments: