Sunday, 28 August 2016

Jangan lari dari Tanjung, gesa Shahrizat kepada Bumiputera Pulau Pinang

shahrizat
GEORGE TOWN: Bumiputera di Pulau Pinang digesa terus kekal mendiami kawasan bandar negeri itu dan tidak perlu takut dengan agenda pakatan pembangkang, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
“Ini (yang) menjadi agenda belah sana…dia akan bawa orang luar beli rumah di sini…dia akan mempunyai pelan strategik.
“Bumiputera Pulau Pinang jangan takut atau gementar, jangan lari daripada Tanjung…,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan DAP sekarang ini boleh dibaratkan sebagai ‘indah khabar dari rupa’ kerana berdasarkan maklum balas yang diterima terdapat banyak rungutan daripada rakyat Pulau Pinang yang menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Berdasarkan perkembangan itu, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk kembali memerintah di negeri itu.
“Tapi kita mesti terus bersatu memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kita jangan biar sesiapa pun membawa unsur-unsur perpecahan dalam UMNO,” katanya.
Sementara itu, ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung menyatakan ikrar menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai presiden UMNO dan perdana menteri.
“Mereka semua berikrar dengan rela hati dengan penuh keikhlasan (menyatakan) sokongan mereka terhadap Datuk Seri Najib…saya amat besar hati (untuk) sampaikan pesan mereka kepada presiden,” katanya.
- FMT
Post a Comment