Monday 29 August 2016

Berarak Di Hadapan Tunku Abdul Rahman Dengan Bangga

Velayuthan (berdiri tiga dari kanan) menceritakan pengalaman manis berarak di hadapan Tunku Abdul Rahman.

SEREMBAN: Warga emas berusia 83 tahun, V. Velayuthan masih lagi ingat dengan jelas ketika dia berarak memasuki Stadium Merdeka bersama 12 ahli Pengawal Kampung (Home Guard) Ulu Temiang sempena sambutan Hari Kebangsaan pada pagi 31 Ogos 1957.

Velayuthan yang pasukannya menerima surat pujian tiga bulan lebih awal daripada pemerintah negeri dan Ketua Pengawal Persekutuan Tanah Melayu, mengimbau kembali detik mereka berarak dalam keadaan hujan lebat.

"Pasukan saya dijemput untuk hadir ke majlis itu dan diberi penghormatan mengambil bahagian dalam perarakan di hadapan (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa orang kenamaan lain.

"Kami tinggal dan berlatih di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur selama seminggu sebagai persediaan untuk acara itu," katanya.

Velayuthan yang ibu bapanya berhijrah dari Kerala, India pada 1929 masih ingat hujan turun dengan lebatnya apabila mereka keluar dari kem tersebut pada pukul 5 pagi.

"Walaupun hujan, kami perlu berbaris dan menaiki trak untuk masuk ke dalam stadium.

"Ketika kami memasuki stadium beberapa minit sebelum pukul 10 pagi, hujan masih tidak berhenti tetapi semangat kami tetap membara," katanya.

Velayuthan berkata beliau masih teruja ketika menceritakan mengenai peristiwa penting itu kepada keluarga dan rakan-rakan.

"Ia satu penghormatan untuk berada di sana dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah," kata Velayuthan yang juga bapa kepada lima anak.

Velayuthan yang bekerja dalam bidang pencetakan akhbar berkata pasukannya dipilih dari ratusan individu untuk menyertai Pengawal Kampung di Ulu Temiang yang dahulunya dikenali sebagai kawasan hitam.

"Selepas dipilih, kami dihantar ke sebuah kem di Port Dickson untuk menjalani latihan selama tiga bulan.

"Saya masih lagi ingat kami perlu mandi di laut kerana sukar mendapat bekalan air paip pada waktu itu," katanya.

Beliau berkata selepas menamatkan latihannya, seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai Ah Lim mengetuai pasukannya dan mereka ditugaskan untuk mengawal kawasan hutan di Ulu Temiang selama dua jam setiap malam.

"Walaupun kami hanya dibayar elaun bulanan sebanyak $17 (Malaya), tiada siapa mengadu," katanya.

Velayuthan berkata pengalaman bersejarah dilakar pasukan itu pada pukul 9.30 malam, 31 Mac 1957 apabila mereka menembak mati dua pemberontak komunis.

"Ketika kami terserempak dengan pemberontak itu, mereka bertanya sama ada kami adalah Pengawal Kampung. Belumpun kami sempat berkata apa-apa mereka melarikan diri.

"Walaupun teriakan kami terhenti beberapa kali, pemberontak tetap berdegil," katanya.

Velayuthan berkata pasukannya terpaksa melepaskan tembakan apabila dua daripada tiga pemberontak itu terlebih dahulu berkelakuan ganas.

"Kami juga menemui $40,000 (Malaya) dari mereka dan menyerahkan wang itu kepada ketua kami," katanya.

Di atas keberanian mereka, setiap ahli pasukan itu menerima ganjaran sebanyak $1,500 dan $2,000 (Malaya) bergantung kepada pangkat masing-masing.
 
- mStar

No comments: