Thursday 25 August 2016

Diberi harapan palsu, penunggang wanita pula tempelak MB

Selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 yang lalu, pelumba basikal negara Azizulhasni Awang menempelak Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman kerana tidak membantu beliau.

Dua hari selepas catatan 'pedas' Azizulhasni itu, Anita Yusof pula melampiaskan kekecewaan beliau terhadap seorang menteri besar di laman Facebooknya.

Anita yang mendakwa dirinya sebagai wanita Islam pertama menunggang motosikal secara solo di serata dunia.

Walaupun memilih untuk tidak menyebut menteri besar yang mana satu, pensyarah dari Perak itu membidas menteri besar berkenaan yang dikatakan memberi 'harapan palsu'.

Dalam catatan tersebut, yang turut diketengahkan oleh wartawan veteran Ahiruddin Atan dalam blognya, Anita membidas Kementerian Pendidikan (MOE) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kepada MOE, terima kasih kerana berikan saya cuti tanpa gaji bagi melakukan perjelajahan ini. Kepada JPA, terima kasih kerana berat sebelah dalam soal jantina dan tidak menyokong dengan mengatakan apa yang saya lakukan ini tidak menyumbang apa-apa kepada negara...

"Kepada MB negeri berkenaan(yang namanya saya tidak mahu sebutkan), terima kasih kerana memberi saya harapan palsu dengan mengatakan 'ya' di depan saya dan beberapa yang lain tetapi kemudian buat bodoh dan tidak pernah menjawab surat saya walaupun disusuli banyak kali," katanya.

Sementara itu, Ahiruddin yang lebih dikenali sebagai Rocky berkata, episod tersebut telah membuatkan beliau berasa sedikit janggal.

"Kerana sayalah yang menghubungkannya dengan Kementerian Pelajaran pada ketika itu bagi menunaikan harapan beliau untuk diberikan status cuti berbayar.

"Dan saya jugalah membawanya bertemu dengan menteri besar (dari negeri yang tidak mahu disebutnya) di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Menteri besar itu seolah-olah begitu berminat dengan apa yang Anita mahu capai...," tambah Rocky.

- MK

No comments: