Sunday 28 August 2016

Hisham: Jangan putus harap dengan kaum Cina

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihatkan anggota parti itu supaya jangan berputus asa dengan pengundi Cina walaupun BN kalah di beberapa kawasan pada pilihan raya umum yang lalu.
Dengan memberikan contoh kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak serta Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Hishamuddin berkata, apa yang penting ketika ini ialah membuktikan kepada kaum tersebut bahawa BN mampu membela nasib mereka.
"Pengalaman kita di Sarawak, di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar, kita jangan berputus asa dengan sokongan kaum Tiong Hwa.
"Ini banyak bergantung pada cara kita membawa diri kita dan bagaimana mereka dapat melihat bahawa pemimpin-pemimpin kita dapat membela mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Umno bahagian Bukit Katil, Melaka.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam pula berharap pengundi Cina bersama-sama BN untuk merampas kembali parlimen Bukit Katil.
Ali Rustam rayu pengundi Cina
Sambil menceritakan kembali kemenangannya ketika bertanding pilihan raya umum sejak 1999, Ali berkata kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan pertama kali dalam sejarah apabila kesemua peti undi Cina tidak memihak kepadanya.
"Pengundi Cina, kembalilah semula ke BN. Dulu bukan tak bagi (undi), tapi sikit sangat. Semua peti undi majoriti Cina, semua kita kalah. Mana pernah saya kalah sejak bertanding pada 1999 dan menjadi ketua menteri.
"Tak pernah. Ini kali pertama dalam sejarah semua peti undi Cina saya kalah," katanya.
Justeru, ketua Umno bahagian Bukit Katil itu meminta supaya masyarakat Cina di negeri itu memberi peluang kepada BN dengan mengundi parti berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.
"Jadi kita minta kawan-kawan kita lupakan PRU13 kerana masa itu ada 'Inikalilah'. Tetapi sekarang, 'Inikalilah kita ambil Bukit Katil'. Kita kena betul-betul ikhlas, Insha Allah, Umno pun kena bekerja keras juga.
"Saya harap semangat pada pilihan raya umum 2004 dibawa pada pilihan raya tahun depan atau 2018 nanti," katanya yang turut membayangkan pilihan raya umum akan diadakan kira-kira 10 bulan dari sekarang.
Rampas Bukit Katil
Bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pula merayu kepada parti komponen BN- MCA dan Gerakan agar membantu mereka merampas semula parlimen Bukit Katil daripada PKR.
Katanya, untuk mencapai kemenangan di kawasan itu, Umno tidak boleh bekerja sendirian sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada semua parti komponen.
"Kita rampas balik parlimen Bukit Katil. Pada rakan-rakan daripada MCA, Gerakan, tolonglah, kami memerlukan bantuan anda. Jika (orang) Melayu sahaja sendirian, kita tidak boleh dapatkan semula Bukit Katil. Tolong MCA, Gerakan.
"Tolong kita untuk hadiahkan pada orang Bukit Katil seorang anggota parlimen yang berwibawa, yang boleh berkerja dan berkhidmat sepanjang masa untuk rakyat Bukit Katil. Ini sumpah BN," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh kira-kira 500 perwakilan Umno.
Pada pilihan raya umum ke-13, Ali yang juga bekas pengerusi BN Melaka hanya mendapat 40,720 undi- tewas kepada Shamsul dengan majoriti sebanyak 5,447 undi.
Shamsul mendapat 46,167 undi.
Ekoran kekalahan itu, Ali kecewa dengan pengundi Cina kerana tidak menyokong BN pada pilihan raya umum yang lalu.
- MK

No comments: