Wednesday 24 August 2016

Bina jalan: Sarawak tak perlu wang Putrajaya jika royalti minyak naik

baru-bian-sarawak-1
PETALING JAYA: Jaringan jalan di Bumi Kenyalang lemah kerana kebergantungan Sarawak kepada peruntukan daripada Putrajaya, kata Pengerusi PKR Sarawak.
Baru Bian berkata hanya dengan menaikkan royalti minyak Sarawak ke 20% akan membantu Kerajaan Negeri mempercepatkan semua pembinaan jalan.
“Fakta yang tidak boleh dielakkan dan menyedihkan adalah kita masih bergantung pada peruntukan dari Kerajaan Pusat untuk keperluan pembangunan.
“Rakyat mula melihat realiti keseimbangan kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Pembangkang sebelum ini sering dipersalahkan kerana kekurangan projek, rakyat kini melihat ia disebabkan kekurangan dana dari Kerajaan Pusat,” kata Adun Ba’Kelalan dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kertas strategi 4 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertajuk “Mentransformasi Luar Bandar untuk Meningkatkan Kesejahteraan Masyarakat”, liputan jalan luar bandar Sarawak sepanjang 4,565km pada 2009, bertambah ke 5,885km pada 2014, berbanding 35,734km (2009) dan 38,131km (2014) di Malaysia Barat.
Keluasan tanah Sarawak seluas 124,450 km persegi manakala Malaysia Barat 130,598 km persegi.
“Menjelang 31 Ogos kita diminta untuk menyambut hari kemerdekaan Malaya, kita seharusnya menunjukkan harga yang terpaksa kita bayar untuk kemajuan mereka kecapi sejak 1963,” kata Baru.
“Sudah tidak ada sebab lagi untuk percaya sesuatu akan berubah. Sedangkan Ketua Menteri sendiri menghadapi masalah untuk menuntut hak yang beliau janjikan,” tambahnya.
Sebelum ini Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing menyasarkan pada tahun 2030, seluruh kawasan di Sarawak akan dihubungkan melalui jalan, dengan dana RM24 bilion daripada Putrajaya.
Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata pembekuan permit kerja kakitangan Petronas yang bukan warga Sarawak yang diambil ketika ini sebahagian daripada usaha mendesak hasil telaga minyak dan gas dinaikkan daripada paras 5% sekarang ini.
- FMT

No comments: