Tuesday 4 October 2016

Lantik timbalan presiden PPBM selepas RoS lulus, kata Mukhriz

mukhriz
KUALA LUMPUR: Jawatan timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya akan diisi, selepas diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kata naib presidennya.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika RoS membantah, kemungkinan besar hanya pemangku dilantik sementara menunggu pemilihan parti diadakan.

“Dalam perbincangan kami dengan pihak RoS, ada beberapa perkara yang kami perlu dapatkan persetujuan RoS dan ketetapan dalam parti.

“Biasanya, jawatan ini dipilih melalui pemilihan dalam parti, tetapi RoS juga faham pemilihan parti tidak perlu disegerakan dan boleh dibuat selepas pilihan raya,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempersoalkan kekosongan jawatan timbalan presiden, walaupun pendaftaran PPBM diluluskan lebih sebulan lalu.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, pelantikan Mukhriz sudah dijanjikan sejak awal, selain mendakwa ramai mengharapkan Mukhriz dilantik ke jawatan itu bagi menarik sokongan belia menyertai PPBM.

“Dalam apa jua keadaan, kepimpinan protem mesti merealisasikan impian dan kehendak rakyat serta generasi muda yang mahukan Muhkriz dinamakan secepat mungkin sebagai timbalan presiden PPBM,” kata Khairuddin.

Mukhriz berkata, perbincangan masih diadakan dengan RoS dan sebaik sahaja diluluskan, PPBM akan terus melantik calon memegang jawatan itu.

“Kepastian kita akan peroleh. Kalau dibenarkan, kita akan lantik terus. Perbincangan itu sedang berlangsung. Kita akan cari apa kaedah terbaik untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi timbul kononnya pemimpin PPBM semakin tidak puas hati terhadap kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat suka bertindak bersendirian.

FMT memetik sumber mendakwa Muhyiddin turut mengetepikan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya, selain tidak selesa dengan pembangkang, khususnya DAP.

- FMT

No comments: