Monday 17 October 2016

Baju Merah Punca Ketegangan Kaum - Muhyiddin

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap agresif dan perkauman yang ditunjukkan kumpulan Baju Merah sebagai punca peningkatan ketegangan kaum di Malaysia.

Muhyiddin berkata, dalam insiden pertembungan antara kumpulan Bersih dan Baju Merah yang berlaku sejak akhir-akhir ini, kumpulan terbabit menggunakan cara yang agresif dan berunsur perkauman untuk menarik perhatian umum.

"Tindakan ganas kumpulan tersebut (Baju Merah) yang mendakwa mempertahankan hak orang melayu, sebenarnya tidak menunjukkan budaya, etika dan sikap orang Melayu," katanya.

Selain itu, Muhyiddin mengaitkan ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengaku kepada media bahawa kebanyakan ahli kumpulan itu merupakan ahli Umno.

Beliau berkata, jika Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar bimbang dengan hubungan kaum di Malaysia, pemimpin nombor satu negara itu perlu mengarahkan Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merah untuk menghentikan sebarang provokasi dan serangan ke atas kumpulan Bersih.

Pada 8 Oktober lalu, kumpulan Baju Merah melontar telur ke atas dua penunggang motosikal yang memakai baju Bersih.

Terbaharu, wartawan The Star turut diserang oleh kumpulan anti-Bersih yang dipercayai ahli Baju Merah di Kuala Selangor.

- mStar

No comments: