Friday 21 October 2016

'Kami Tahu Tugas Dan Tanggungjawab' - Khalid

KUALA LUMPUR: Polis tidak memerlukan sesiapa untuk memberitahu bagaimana cara untuk melakukan tugas mereka, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Abu Hanifah yang meminta polis bertindak adil dan menahan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan bekas pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan susulan penangkapan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

"Mereka tak payah beritahu apa yang kami perlu buat. Kami tahu apa perlu dilakukan. Kami tahu tugas dan tanggungjawab kami. Jadi tiada siapa perlu menetapkan apa yang perlu kami lakukan. Itu terpakai kepada semua," kata Khalid kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Khamis.

Susulan penahanan Jamal pada Rabu, Armand menggesa polis untuk menahan ahli Bersih dengan berkata mereka turut bertanggungjawab mencetuskan provokasi dengan mengadakan konvoi tanpa permit.

Armand yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Dang Wangi, lokasi Jamal ditahan menggesa polis bersikap adil sambil menambah sebagai seorang peguam, Ambiga sepatutnya tahu tindakan boleh diambil terhadapnya kerana menganjurkan konvoi tanpa permit.

Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air pada Rabu.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

- mStar

No comments: