Thursday 20 October 2016

‘Pretzel dog’ bukan punca Auntie Anne tak dapat sijil halal, kata menteri

Jamil
KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengharamkan “pretzel dog” yang dijual di Auntie Anne kerana dikaitkan dengan nama anjing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya tidak memfokuskan kepada nama produk sebaliknya lebih menilai isi kandungan.

“Tidak timbul Jakim haramkan nama yang sudah ‘established’. Kita fokus bukan pada nama. Apa yang penting adalah kita menilai dari sudut kandungan.

“Tetapi, nama juga sebenarnya boleh berikan nilai pada sudut masyarakat. Untuk masyarakat umum, nama yang tidak cantik kita boleh ubah supaya dapat ditambah baik,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Jamil turut menjelaskan beberapa nama diubah supaya dapat memberikan imej lebih baik kepada masyarakat.

“Dulu ada nama tempat Batang Berjuntai kemudian ditukar kepada Bestari Jaya dan ada pantai di Kelantan, Pantai Cinta Berahi, kini ditukar menjadi Pantai Cahaya Bulan. Peningkatan perubahan sentiasa berlaku,” katanya.

Nama “hotdog” dicipta pada abad ke-20 oleh warga Jerman di Amerika yang mula menjual pelbagai sosej, ada yang nipis dan panjang, seperti anjing baka Dachshund.

Pada mulanya ia dinamakan sosej dachshund sebelum dipendekkan kepada “hotdog”.

Kata Jamil lagi, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Auntie Anne pada petang ini untuk memastikan salah faham yang berlaku dapat diselesaikan.

“Sekarang ini mereka (Auntie Anne) dalam proses memohon pensijilan halal. Kita akan bincang pada petang ini.

“Mereka juga boleh jelaskan sama ada nak pertahankan nama produk itu dan sebagainya,” katanya.

Secara berseloroh, Jamil turut menyatakan beliau sendiri memakan “hot dog”.

Isnin lalu, Eksekutif Jaminan Kualiti dan Halal Auntie Anne, Farhatul Kamilah Mohamed Sazali menerusi Facebook miliknya berkata, rangkaian francais itu sudah menghantar beberapa nama lain dan sedang menunggu keputusan panel Jakim.

- FMT


No comments: