Monday 31 October 2016

Bajet Selangor hanya retorik, janji lama belum tertunai, kata Adun BN

 
SHAH ALAM: Pemimpin Barisan Nasional menyifatkan Belanjawan Selangor 2017 dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai retorik semata-mata bagi menarik minat rakyat agar mengagumi petadbirannya.

Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tiada perkara baharu dibentangkan dan hanya mengulangi bajet terdahulu dan cuba meniru kerajaan pusat.

“Saya buat kesimpulan bajet ini banyak retorik kerana beliau (Azmin) bercakap banyak tetapi buat lambat. Banyak diketuk baru buat.

“Kerajaan beri kebaikan dalam skim kesihatan, beliau pun nak beri juga melalui skimnya.Begitu juga dengan skim perumahan. Beliau seperti nak bertanding dengan kerajaan pusat.

“Apa yang dicakap dalam bajet ini sudah banyak kali dan banyak perkara yang belum selesai. Hanya mengulangi perkara yang kononya sedang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas selesai pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Pada masa sama, Adun Batang Kali itu membidas tindakan Azmin yang menambah peruntukan dalam program bas percuma, Bas Smart Selangor sebanyak RM10 juta kepada RM20 juta bagi 2017.

Menurutnya, tidak semua rakyat negeri itu boleh menikmati perkhidmatan bas percuma berikutan laluan khas yang terhad.

“Beliau lebih mengutamakan Bas Smart Selangor yang tidak menyeluruh. Bagaimana dengan penggunaan kenderaan peribadi yang kita lihat masih belum berjaya ditangani, begitu juga pengangkutan awam. Beliau kembangkan lagi Bas Smart Selangor, mungkin kerana ada logonya, hanya untuk menambah popular,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz menyifatkan belanjawan negeri itu hanya wayang kulit Azmin.

“Nampak cantik di atas kertas. Kita hendak tengok hasilnya. Saya bagi contoh, Adun Sekinchan menegur pentadbiran Dewan Negeri yang mengenai pelaksanaan bantuan perkahwinan di Selangor. Borang sudah dihantar tetapi pemohon masih tidak mendapat duit berkenaan walaupun sudah mengandung.

“Saya nampak bajet ini bajet wayang kulit sahaja. Tunjuk defisit lepas itu jadi bajet seimbang. Ini semua wayang kulit sahaja,” katanya.

- FMT

No comments: