Monday 24 October 2016

Kualiti rawatan terjejas jika kurang doktor, paramedik

hilmi-yahya-penang-insitute
IPOH: Kementerian Kesihatan tidak boleh sesuka hati mengurangkan bilangan doktor dan anggota paramedik di hospital kerajaan kerana ia perlu menyediakan perkhidmatan rawatan terbaik untuk rakyat

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kedua-dua perjawatan itu amat diperlukan memandangkan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan semakin meningkat.

“Kualiti rawatan dan penjagaan kesihatan akan terjejas teruk seandainya kita mengurangkan bilangan doktor dan anggota paramedik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen 2016 Insititusi Latihan Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Penang Institute iaitu badan pemikir kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan mereformasikan dan mengurangkan saiz sektor perkhidmatan awam bagi mengurangkan defisit belanjawan.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi meminta orang ramai supaya tidak salah faham mengenai Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) bagi hospital kerajaan yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

Beliau menjelaskan FPP yang tersebar itu bukan bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital kerajaan, sebaliknya, ia merupakan pilihan bagi sesetengah pihak yang berkemampuan.

“FPP ini bagi yang memilih untuk bayar sendiri kos mereka dan jika memerlukan pembedahan ia akan dijalankan oleh doktor (hospital kerajaan) selepas waktu kerja,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan FPP merupakan pakej retensi bagi pakar hospital kerajaan dan ia juga bertujuan mengurangkan penghijrahan mereka ke sektor swasta.

Pada majlis itu, seramai 7,973 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan dari Institusi Latihan Kementerian Kesihatan seluruh Semenanjung Malaysia menerima sijil.

- Bernama

No comments: