Friday 14 October 2016

Pindaan akta media: Cubaan Malaysia sekat Internet, kata HRW

Phil Robertson
KUALA LUMPUR: Human Rights Watch (HRW) bimbang cadangan pindaan undang-undang media Malaysia akan menyebabkan pihak berkuasa mempunyai kuasa lebih besar untuk menyekat perbezaan pendapat dalam talian, ketika perhimpunan awam dan kebebasan bersuara turut semakin disekat.

Laporan kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dikeluarkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha menepis kritikan yang dilemparkan terhadapnya berhubung skandal kewangan 1MDB.

“Apa yang Malaysia cuba buat ialah menutup semula Internet, kembali semula kepada masa di mana kerajaan ada kuasa kawalan lebih besar terhadap maklumat yang diterima rakyatnya,” kata Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson.

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia itu tidak didedahkan kepada umum.

Laporan media berkata pindaan itu akan memerlukan portal berita dan blog politik berdaftar dengan kerajaan, hukuman atas kesalahan di bawah akta itu juga akan dinaikkan, dan kuasa semakin besar untuk pihak berkuasa mengeluarkan kandungan dalam talian.

Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak enggan mengulas perkara itu.

Salleh sebelum ini dipetik akhbar New Straits Times sebagai berkata cadangan pindaan itu dibuat sebagai melindungi salah guna Internet seperti pornografi, ekstremisme dan perjudian.

Laporan HRW berkata jumlah rakyat Malaysia yang disiasat kerana mengkritik kerajaan semakin meningkat sejak tahun lalu.

Sebelum ini, laporan HRW tahun lalu turut menyatakan peningkatan penggunaan undang-undang jenayah untuk menyekat perbezaan pendapat.

“Kami mendapati ada beberapa negara di Asia Tenggara lebih teruk daripada Malaysia, berhubung kemerosotan hak asasi manusia,” kata Robertson.

Meskipun kerajaan berjanji untuk tidak menapis Internet, pihak berkuasa sudah menutup beberapa laman web dan portal berita yang menyiarkan laporan kritikan mengenai 1MDB dan perdana menteri.

Pihak berkuasa juga mematahkan penganjuran perhimpunan anti kerajaan, pemimpin pembangkang dan aktivis.

Antaranya ialah pelukis grafik Fahmi Reza, yang berdepan pendakwaan di bawah akta itu kerana melukis karikatur Najib berwajah badut.

1MDB disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara kerana terbabit dalam pengubahan wang haram. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan tuntutan sama untuk menyita aset yang dikatakan dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB pada Julai lalu.

Najib menafikan terbabit dalam sebarang salah laku dan berkata Malaysia akan bekerjasama dalam semua siasatan antarabangsa.

- Reuters

No comments: