Thursday 20 October 2016

Tiada Lagi Subsidi Minyak Masak

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh 12 hari lagi, kos memasak di negara ini akan bertambah apabila harga minyak masak meningkat.

Turut dijangka meningkat adalah harga makanan di luar, dengan restoran dan premis makanan cuba 'mengalihkan' kos berkenaan kepada pelanggan.

Kenaikan ini adalah yang pertama bagi minyak masak dalam tempoh 10 tahun.

Pada 1 November depan, subsidi untuk semua kecuali dua saiz bungkusan minyak masak akan dimansuhkan.

Subsidi kedua-duanya akan kekal sehingga akhir tahun ini, membabitkan botol 5 kilogram (kg) dan pek plastik (polybag) 1kg.

Bermula Tahun Baharu, hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan.

"Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi," menurut Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya (MEOMA) dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut persatuan itu, ia selari dengan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang dilaksanakan kerajaan pada Jun 2007 berikutan kenaikan harga minyak sawit ketika itu.

Tambah persatuan itu, COSS distruktur semula, yang merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan.

Harga runcit siling bagi pek plastik 1kg dan botol 5kg akan disemak semula yang menyaksikan peningkatan harga, dari RM2.50 kepada RM2.90 untuk pek plastik 1kg, dan dari RM13.35 kepada RM15.25 bagi botol 5kg.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Penguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kebimbangan utama adalah peniaga akan meningkatkan harga minyak masak.

"Kerajaan perlu pastikan peniaga-peniaga tidak menaikkan harga terlalu tinggi," katanya.

Tambah Mohd Yusof, Fomca menjangkakan harga makanan akan meningkat tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Penjaja Persekutuan Malaysia, Yaw Boon Choon berkata, pemansuhan subsidi bagi minyak masak akan menjejaskan peniaga makanan.

"Ini terutama peniaga yang menggunakan banyak minyak seperti peniaga cakoi," katanya.

Angeline Leong, 47, yang bekerja di sektor pengurusan hartanah berkata, dia merancang untuk menyimpan bekalan minyak masak.

"Kebiasaannya, saya membeli pek minyak masak 5kg sebulan. Sekarang saya akan beli empat atau lima botol," katanya.

Puan Lim, suri rumah berusia 50 tahun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kenaikan harga akan berlaku.

"Makan di luar akan menjadi lebih mahal. Gerai makanan dan makan di restoran akan menjadi sesuatu yang mahal," katanya.

Suria Mohd, 32, berkata tidak banyak yang boleh dibuat dengan peningkatan harga minyak masak.

"Saya tidak boleh goreng tanpa minyak masak," katanya.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu turut memaklumkan bahawa COSS yang di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, akan diselia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Subsidi kerajaan bagi keperluan asas seperti petrol, diesel, minyak masak, tepung dan bantuan seperti BR1M menurun sebanyak 9.6 peratus kepada RM24.64 bilion tahun ini, dari RM27.3 bilion tahun lepas.

Ia menjangkakan jumlah itu akan lebih rendah pada tahun depan, berikutan pelan rasionalisasi subsidi. 
 
- TheStar

No comments: