Tuesday 25 October 2016

Kerajaan tidak pernah tipu data, kata Najib

najib-2
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata pentadbirannya tidak pernah memanipulasi data dan statistik bagi mengelirukan orang awam, dan berserah kepada rakyat bagi menentukan kebenaran.
“Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan dalam kabinet bahawa kita mesti mengutamakan kebenaran dan hak. Bukan memanipulasi fakta untuk kepentingan diri dan kumpulan yang kecil,” kata perdana menteri seperti dipetik Bernama, dalam ucapan yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2016 malam semalam.
Seminar tersebut bertemakan “fiqh tabayyun” atau menyemak asas kebenaran, dan dianjurkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang dipengerusikan Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.
Najib berkata perkara sama tidak dilakukan oleh pengkritik kerajaan.
“Mereka beranggapan kebenaran adalah milik eksklusif mereka semata-mata… apabila diberikan hujah balas, mereka menganggapnya sebagai ‘propaganda’ kerajaan, malah menuduh kita setaraf Joseph Goebbels dan Hitler,” kata Najib tanpa menyebut siapa yang dimaksudkan.
Bagaimanapun ia dipercayai ditujukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang bulan lalu membandingkan penyokong Najib kepada Hitler dan pegawai propagandanya Goebbels.
Najib yakin majoriti rakyat akan menyokong kerajaan sekiranya mereka menyemak kebenaran sesuatu berita.
“Berlandaskan fitnah, pembohongan dan hasutan, Malaysia ini sudah bankrap dan muflis entah untuk kali yang ke berapa. Faktanya, pembentangan Bajet 2017 memberi gambaran sebenar bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh, utuh dan kuat…yang bankrap dan muflis sebenarnya adalah kelompok kecil yang lahap dan haloba kuasa,” kata beliau.
Jumaat lepas, Najib membentangkan bajet bernilai RM260.8 bilion, bagaimanapun ia diselar sebagai tidak realistik oleh wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika ucapannya.

- FMT

No comments: