Monday 24 October 2016

Ku Li: Majlis Raja-Raja boleh campurtangan sekiranya berlaku krisis

ku-li-raja2-1
KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah berkata Majlis Raja-Raja mempunyai peranan sekiranya krisis melanda negara, dan menambah ia perlu dilakukan demi kebaikan rakyat dan negara.
“Sekiranya urustadbir tertegun, dan ketiga cabang kerajaan (eksekutif, perundangan dan kehakiman) mempunyai kekurangan, Majlis Raja-Raja boleh pimpin.
“Ia boleh dilakukan. Lagipun, mengikut sejarah Raja-Raja merupakan sumber Perlembagaan kita. Maka adalah wajar sekiranya negara kembali ke Raja-Raja jika Perlembagaan, sama ada secara sengaja atau tidak, diketepikan,” katanya.
Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, berkata demikian dalam ucapan pelancaran buku, “The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party” di suatu kelab peribadi di sini.
Ahli Parlimen berkhidmat di Dewan Rakyat sejak 1974 itu berkata Majlis Raja-Raja wujud sebagai semangat Perlembagaan walaupun tanpa pertubuhan yang berstruktur, seperti mempunyai belanjawan yang bebas dan struktur pentadbiran yang menyeluruh.
“Perkara yang saya mahu tekankan ialah Majlis Raja-Raja boleh berfungsi sebagai kuasa kolektif disamping tiga cabang kerajaan demi kebaikan rakyat dan negara,” kata Razaleigh.
Kenyataannya itu dilihat dalam konteks bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bulan lepas untuk mempersembahkan Deklarasi Rakyat.
Dr Mahathir kemudiannya berkata beliau gagal meyakinkan Agong akan tuntutan yang dinyatakan dalam deklarasi itu yang mengandungi 1.4 juta tandatangan.
Bagaimanapun, mereka yang mendalangi Deklarasi Rakyat mengutus surat kepada semua Raja-Raja – merayu tindakan diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan salahlaku.
Surat itu dihantar sebelum Majlis Raja-Raja bersidang pada 11 Oktober hingga 19 Oktober.
“Kita mahu tahu sama ada Majlis Raja-Raja mempunyai pandangan tentang 1MDB dan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ke atas aset yang diperoleh menggunakan dana yang didakwa digelapkan daripada 1MDB, dan apa tindakan yang sepatutnya diambil,” kata Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu berhujah oleh kerana rakyat berhasrat dan merupakan rakyat Raja-Raja, maka Raja-Raja bertanggungjawab ke ats nasib warga.
Dokumen itu, dan gerakan yang dilancarkannya, ditepis pimpinan Barisan Nasional sebagai usaha sia-sia untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
- FMT

No comments: