Saturday 5 November 2016

Pemilik pasar raya didakwa sorok 320kg minyak masak

minyak-masak
GEORGE TOWN: Seorang pemilik sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas 2 pertuduhan menyorok 320kg minyak masak dan memasarkan secara runcit barang kawalan itu tanpa lesen, minggu lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Soo Jin Yin, 31, didakwa sebagai pemilik tunggal perniagaan Sun Mart didapati menyimpan barang kawalan, iaitu minyak masak sebanyak 320kg di premis, selain premis yang dibenarkan untuk penyimpanan minyak masak.
Untuk pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki minyak masak berkenaan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah di bawah peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, di mana berurusan secara runcit terhadap barang kawalan tersebut tanpa lesen dikeluarkan di bawah Peraturan 4, peraturan sama.
Soo didakwa melakukan semua perbuatan itu di perniagaan Sun Mart, No 6G, Medan Angsana Satu, Bandar Baru Air Itam pada jam 9.20 malam, 25 Oktober lalu, mengikut Seskyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan Wei Heng menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan kerana kes itu serius.
Bagaimanapun, Soo memohon mahkamah mengurangkan jaminannya atas alasan anaknya baru berusia sebulan dan isterinya sedang berpantang, selain perlu menyara kedua ibu bapanya.
Hakim, Irwan Suaibon kemudian membenarkan Soo diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan bersama seorang penjamin dan menetapkan 15 Disember ini untuk pengurusan kes bagi serahan dokumen dan membolehkan tertuduh melantik peguam.
- Bernama

No comments: