Thursday 10 November 2016

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Kemenangan Trump

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu apabila pasaran minyak mencatatkan penurunan susulan kemenangan mengejut Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.2240/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2000/2050 pada Selasa.

Peniaga itu berkata penurunan ringgit juga sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun Asia.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata ringgit tidak dijangka terus jatuh lagi dalam tempoh terdekat ini.

"Minyak jatuh ke paras terendah yang saya fikir ia boleh pergi pada US$44 setong hari ini, dan saya tidak rasa ia boleh turun banyak lagi. Paling banyak pun US$40, tetapi saya tidak menjangkakan ia akan jatuh ke bawah US$40 sekali lagi," katanya kepada Bernama.

Minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent jatuh 47 cents kepada US$45.57 setong.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.2340/2427 daripada 5.2177/2260 pada Selasa dan turun berbanding euro kepada 4.6679/6754 daripada 4.6402/6465.

Ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0345/0392 daripada  3.0225/0267 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 4.0808/0877 daripada 4.0188/0239.

- Bernama

No comments: