Saturday, 5 November 2016

Rosmah Hadapi Cabaran Getir Media Sosial

KUALA LUMPUR: Cabaran yang dihadapi isteri perdana menteri kini lebih besar kerana terpaksa berdepan pelbagai tuduhan dan putar belit lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial.

"Ramai yang tidak tahu bahawa isteri perdana menteri terdahulu juga menjadi mangsa pelbagai tuduhan, namun ia tidak tersebar secara meluas seperti sekarang," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak harus percaya dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor kerana ia palsu dan tidak berasas serta tidak disokong dengan bukti yang kukuh, malah terhasil dengan memutar belit fakta.

Beliau berucap pada Kursus Pemukiman Penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, Jumaat malam.

Rizal seterusnya berkata Program Permata Negara (Permata), yang dinaungi Rosmah, ditubuhkan kerana isteri perdana menteri itu mahu memberi sumbangan kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak yang sebelum ini dilihat kurang mendapat perhatian.

Permata, kata Rizal, bukan satu pembaziran tetapi pelaburan untuk pendidikan kanak-kanak, dan hasilnya mungkin tidak dapat dilihat sekarang tetapi dalam tahun-tahun mendatang.

Beliau berkata sesiapa yang mengenali rapat isteri perdana menteri mengetahui bahawa beliau sebenarnya seorang yang peramah sifatnya.

- mStar
Post a Comment