Wednesday 9 November 2016

Pejabat Malaysiakini diserbu SKMM, 2 komputer disita

MCMC
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya bagi membantu siasatan 2 laporan berita video yang dimuat naik anak syarikat portal berita itu, KiniTV.

Malaysiakini melaporkan serbuan itu diketuai Timbalan Pengarah Unit Penguatkuasaan dan Penyiasatannya, Akmal Hamdy Baharudin bersama 6 anggota yang membawa bersama waran geledah.

Dua komputer dirampas dalam serbuan pada petang tadi yang dipercayai bertujuan membantu siasatan sidang akhbar yang diadakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, pada Julai lalu.

Dalam laporan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang disiarkan pada Julai lalu itu, Khairuddin mengkritik Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan mendesaknya meletak jawatan kerana enggan membuat pendakwaan dalam kes 1MDB.

SKMM sudah mengarahkan KiniTV memadamkan video yang didakwa melanggar Akta Multimedia dan Komunikasi, namun selepas ditegur suruhanjaya itu, KiniTV sekadar memadamkan perkataan “haprak” yang digunakan Khairuddin bagi melabelkan peguam negara.

Video itu dipercayai melanggar Seksyen 233 akta berkenaan, iaitu penggunaan tidak wajar untuk kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

- FMT

No comments: