Tuesday 1 November 2016

Air mineral lebih mahal daripada minyak masak tanpa subsidi, kata menteri

Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR: Wang yang dibelanjakan rakyat untuk membeli air mineral lebih banyak daripada minyak masak setiap tahun, kata menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.

“Air mineral yang orang minum setiap hari lebih mahal daripada harga minyak masak tidak bersubsidi yang rakyat gunakan tiap-tiap hari,” kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng pada sesi khas Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim ingin tahu jika benar rasionalisasi minyak masak akan menyebabkan kos sara hidup keluarga meningkat RM50 setiap seorang setahun, yang bermakna pertambahan RM250 untuk 5 sekeluarga setahun.

Hamzah berkata, kementeriannya menganggarkan setiap individu hanya menggunakan 1.5kg minyak masak sebulan dan berdasarkan anggaran itu, jika subsidi dihapuskan secara menyeluruh dan harga minyak masak naik kira-kira RM4 satu kg.

“Jika ia dinaikkan kepada kira-kira RM4, harga minyak masak paket plastik 1kg hanya bertambah RM1.50 sebulan. Ini bermakna ia hanya naik RM2.25 seorang sebulan.

“Di mana datangnya RM50? Tadi anda kata RM250 setiap keluarga. Saya terkejut,” katanya menjawab soalan ketua menteri Pulau Pinang itu.

Sebotol air mineral 500ml purata berharga kira-kira RM1.20, manakala 1.5 liter dijual kira-kira RM3.

Mulai hari ini, subsidi minyak masak dimansuhkan untuk semua kategori kecuali paket plastik 1kg yang kekal RM2.50, manakala harga untuk bungkusan lain ditentukan kuasa pasaran.

Pada 2015, harga minyak masak berharga RM2,300 hingga RM2,600 setiap tan metrik. September lalu, kementerian memaklumkan harga itu melonjak sehingga RM3,000 seitap tan metrik.

Kementerian itu berkata, rasionalisasi subsidi minyak masak juga bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu berkata, subsidi berjumlah RM10 bilion akan digunakan untuk bahan api, minyak masak, gas, tol dan pengangkutan awam.

- FMT

No comments: