Wednesday 28 September 2016

Dr Mahathir tidak percaya Gani Patail

mahathir-gani
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak percaya dengan kenyataan Tan Sri Gani Patail yang mengatakan perdana menteri berhak menamatkan perkhidmatan peguam negara, dan pemberhentiannya mengikut aturan kerajaan.
Malah, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga tidak percaya yang bekas peguam negara itu tidak dianiaya.
“Kenyataan ini amat berbeza dengan kenyataan yang dibuat sendiri olehnya sejurus selepas hilang jawatan. Oleh itu orang ramai yang tahu akan kepercayaan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bahawa “Cash is King” menolak kenyataan baru ini.
“Mereka menjangka banyak dedak yang diguna, selain dari ugutan-ugutan. Mereka yang bersama Najib pun tidak percaya akan kenyataan baru Gani Patail, walaupun mereka tidak berani menyatakan apa yang terbuku dalam hati mereka,” kata Dr Mahathir di blognya hari ini.
Bekas perdana menteri itu menyifatkan kenyataan Gani sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej Najib, yang dikaitkan kepada dakwaan melesapkan berbilion ringgit wang 1Malaysia Developmenet Berhad (1MDB).
Dr Mahathir menyamakan mereka kepada Menteri Propaganda Nazi Jerman, Joseph Gobbels.
“Sejak Najib dituduh melesapkan berbilion ringgit wang 1MDB (duit rakyat), ramailah Goebbels kecil yang ditugaskan memperbaiki imej Najib dengan berbagai jenis penjelasan dan dakwaan,” kata Dr Mahathir.
“Yang baru dan bukan terakhir ialah dakwaan oleh Gani Patail,” katanya lagi, namun menambah ia tidak akan dapat mengubah pandangan masyarakat terhadap Najib.
“Demikian kenyataan oleh Sirul (Azhar) yang lari ke Australia bahawa Najib tidak terlibat dengan pembunuhan Altantuya.
“Demikian juga dengan peralihan kesetiaan blogger Big Dog dan Rockybru. Mereka boleh nafi mereka telah dibeli, tetapi masyarakat semua faham sebab peralihan haluan oleh mereka.”
Bekas perdana menteri itu seterusnya berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad kerana “menipu Najib bahawa kenyataan mereka berkesan”.
“Sebenarnya dengan pembohongan dan propaganda Najib, mereka (masyarakat) lebih yakin tuduhan-tuduhan terhadap Najib mempunyai asas yang kuat dan benar.”
- FMT

No comments: