Thursday, 29 September 2016

Perlembagaan benarkan Agong singkir PM, kata peguam

haniff
SHAH ALAM: Peguam kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan adalah salah untuk berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyingkir Perdana Menteri.

Malah, undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menyatakan, “kuasa melantik termasuk kuasa untuk menolak,” kata Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

“Ada pihak mempersoal kuasa Agong terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Bagi saya, jawapannya ada dalam perlembagaan.

“Perkara 40 (2) (a) menyatakan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri. Ia tidak menyentuh soal kuasa memecat Perdana Menteri.

“Tetapi dalam Seksyen 29 Jadual ke-11, undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan ke mana-mana pejabat, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung sedemikian,” kata Haniff, memetik perlembagaan.

“Oleh itu, jawapannya ada di sana, tetapi kita tidak melihatnya. Apabila kita tidak melihatnya, maka kita tidak akan tahu,” kata pakar undang-undang itu dalam satu forum yang diadakan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian membalas kenyataan Barisan Nasional (BN) yang menolak percubaan pergerakan Selamatkan Malaysia melibatkan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menjatuhkan Najib.

Ini susulan kenyataan BN yang berkata Agong tidak mempunyai kuasa menjatuhkan perdana menteri dan satu-satunya cara untuk menggulingkan “pemimpin yang dipilih secara demokrasi dan menerusi kerajaan” adalah pilihan raya umum.

Komen tersebut timbul selepas pertemuan Dr Mahathir dengan Agong pada 15 Sept, di mana beliau dilapor menyerahkan set kedua dokumen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan menuntut penyingkiran Najib.

Najib kemudian mendakwa Agong memberitahu Dr Mahathir tiada apa yang boleh dilakukan menerusi perisytiharan itu yang “tidak mengikut perlembagaan.”

“Ia salah. Lagipun, Perkara 43 (6) Jadual 6 memerlukan seorang Perdana Menteri mengangkat sumpah untuk menegakkan, melindungi dan mempertahankan perlembagaan,” kata Haniff.

“Jika salah laku yang didakwa dilakukan Najib disenaraikan dalam Deklarasi Rakyat itu benar, maka itu adalah pelanggaran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Jika seseorang melanggar sumpah yang diambil di mahkamah, mereka boleh dipertanggungjawabkan kerana menghina mahkamah. Jadi, jika ia salah untuk berbohong di bawah sumpah di hadapan mahkamah, apatah lagi di hadapan Agong,” katanya.

Pakar perlembagaan Profesor Aziz Bari dan peguam Adnan Seman yang turut berucap dalam forum itu pada mulanya tidak menyedari peruntukan yang didedahkan oleh Haniff.

Kedua-duanya kemudiannya mempersoalkan kewajarannya pula.

“Jadi sekarang ada pihak yang tidak suka pada perdana menteri meminta Agong menyingkir Najib. Katakan perkara sama berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) mula berkuat kuasa.

“Katakan PH masih gagal menyelesaikan konflik dan mengambil keputusan untuk berpecah. Orang ramai kemudian hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka dan sekali lagi meminta Agong untuk membuang Perdana Menteri ketika itu.

“Kemudian apa? Di mana kita akan berhenti?” soalnya.

Kedua-dua beliau dan Aziz kemudian meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran semasa supaya menunggu masa di mana demokrasi sebenar diamalkan, iaitu pilihan raya umum akan datang.

- FMT
Post a Comment