Wednesday 28 September 2016

Bincang dulu, kata PKR selepas Dr Mahathir umum pilihan PM

xavier_mahathir_muhyiddin_600
PETALING JAYA : PKR hari ini berharap sebarang keputusan mengenai calon perdana menteri bayangan dibincang dahulu dengan parti lain, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), perlu berbincang terlebih dahulu kerana kenyataan terbuka mengenai calon perdana menteri.
Katanya, sebarang pengumuman mengenainya tanpa mengambil kira semua parti terbabit boleh menyebabkan rasa kurang senang.
“Jangan buat kenyataan tergesa-gesa macam itu walaupun kita akan bekerja bersama-sama dengan gabungan besar,” kata Xavier kepada FMT.
PKR dan DAP sebelum ini berkali-kali sepakat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, akan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Putrajaya jatuh ke tangan pembangkang.
Berucap di London baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, adalah pilihan utama sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak banyak perbincangan diadakan mengenainya kerana ia boleh menjejaskan gabungan pembangkang itu.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari tidak hairan dengan kenyataan Dr Mahathir itu.
“Itu presiden parti dia, takkan dia nak cakap orang lain,” kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu
“Perkara ini belum dibincang lagi. Saya tak rasa perkara ini perlu dibincangkan buat masa ini. Tak perlu dijadikan isu,” katanya.
- FMT

No comments: