Monday 19 September 2016

MTUC persoal dakwaan penjawat awam ‘curi tulang’ kerja 8 jam

mtuc
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan alasan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang pekerja banyak melakukan perkara lain dalam menolak cadangan waktu bekerja penjawat awam dipendekkan daripada 8 kepada 6 jam.

Presiden MTUC Abdullah Sani Abdul Halim berkata Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda yang membuat dakwaan itu sepatutnya menghalang pekerja melakukan aktiviti peribadi semasa waktu kerja.

“Dia (Azih) kata masa banyak habis ambil anak dan sebagainya, adakah itu amalan yang berlaku sekarang (kepada pekerja)?, itu isunya kalau isu itu yang dikatakan saya kecewalah yang selama ini dia tidak meletakkan diri dia sebagai orang yang bertanggungjawab untuk memahami dan mengetahui permasalahan keseluruhan pekerja,” kata Abdullah ketika dihubungi.

Azih dilaporkan berkata Cuepacs tidak menyokong cadangan waktu bekerja dikurangkan kepada 6 jam sehari, dan menyifatkan mereka yang bersetuju cadangan itu hanyalah kerana sikap malas.

“Tiada siapa yang bekerja 8 jam secara berterusan. Pekerja keluar untuk waktu rehat minum kopi atau keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah dan lain-lain. Oleh itu, Cuepacs membantah idea tersebut,” katanya dipetik Bernama.

Abdullah berkata MTUC sedia bersemuka dengan Cuepacs memberi penjelasan secara terperinci berhubung cadangannya memendekkan waktu kerja.

Menurutnya, di negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia, pekerja menghabiskan masa kurang 40 jam seminggu.

“Tetapi kita di Malaysia masih kekal dengan 48 jam seminggu. Sebab itu kita cadang,” katanya.


- FMT

No comments: