Monday 19 September 2016

Hargai Dr Mahathir, nasihat Zaid kepada Nazri

zaid-ibrahim-nazri
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyelar sikap Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz yang sentiasa “menghentam dan menghina” Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Nazri sepatutnya perlu berterima kasih kerana bekas perdana menteri itu pernah membuat keputusan tidak menyiasat dakwaan salah laku melibatkan permit teksi disebabkan Dr Mahathir menganggap beliau sudah di penghujung jawatannya.

“Dari episod ini Nazri sepatutnya insaf dan sedar bahawa ada juga jasa Tun Mahathir kepada beliau. Kalaulah tidak kerana hal itu pun, beliau sepatutnya mesti berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana mengekalkan dia sebagai menteri begitu lama.

“Tapi itulah pemimpin Umno, tidak ada langsung ingin mengenang jasa mereka yang telah banyak menolong,” kata Zaid dalam catatan blognya hari ini.

“Soalan yang sama sepatutnya dikemukakan oleh Nazri ialah kepada Najib. Apa lagi Najib mahu?” katanya yang mahu menteri pelancongan itu menyoal Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana syarikat milik negara 1MDB.

Zaid turut menjangkakan kritikannya akan dibalas dengan cabaran daripada Nazri supaya bertanding melawannya pada pilihan raya akan datang.

“Kalau Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju membantu saya, saya tidak akan teragak-agak melawan beliau di kawasan pilihan SPR itu. Apa takut, bukankah orang tua-tua ada berpesan, orang berani matinya sekali sahaja?” kata Zaid, yang bagaimanapun berkata kekurangan pengaruh dan wang ringgit di pihaknya akan menyebabkannya “tewas dengan teruk”.

Zaid turut menyindir Nazri boleh memilih kawasan baharu “direka khas oleh SPR”, merujuk cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendapat tentangan hebat pembangkang.

“SPR kini sedang mengubah sempadan dan saya menyeru SPR pilihlah satu kawasan yang selamat untuk Nazri.”

Dua hari lalu, Nazri berkata kerajaan bersedia memberi segala kemudahan kepada Dr Mahathir menjatuhkan pentadbiran Najib asalkan ia mengikut lunas undang-undang.

Nazri yang pernah berkhidmat di bawah kabinet Dr Mahathir juga mempersoalkan pertemuan bekas perdana menteri itu dengan Agong bagi penyerahan tanda tangan Deklarasi Rakyat.

“Tapi saya fahamlah, Yang di-Pertuan Agong mungkin kenal Dr Mahathir lama, mungkin cuma ajak minum teh.

“Siapa Mahathir nak memendekkan kuasa yang rakyat beri menerusi pilihan raya kepada Datuk Najib untuk jadi perdana menteri?” soalnya.

- FMT

No comments: