Friday 30 September 2016

Nazri kata Agong tiada kuasa pecat PM

nazri-istana-1
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz menyangkal dakwaan Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memecat perdana menteri.
Menjawab tafsiran Perlembagaan peguam Haniff Khatri Abdulla, Nazri memberitahu FMT yang Agong hanya boleh memecat perdana menteri yang kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Perlembagaan menyatakan Agong melantik seorang perdana menteri berdasarkan sokongan yang diterima di Parlimen.
“Selagi beliau ada sokongan majoriti ahli Parlimen, beliau tidak boleh dipecat.
“Agong tidak ada kuasa untuk memecat perdana menteri begitu sahaja. Sekali lagi, proses perlu dimulakan di Parlimen.”
Haniff, yang merupakan peguam kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, malam tadi berkata Perlembagaan menyatakan “kuasa untuk melantik termasuk kuasa untuk pecat”.
Menyokong hujahnya, Haniff berkata Perkara 29 Jadual 11 Perlembagaan menyebut “undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan ke mana-mana pejabat, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung sedemikian”.
Oleh itu, jika Yang di-Pertuan Agong percaya dakwaan pembangkang yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan kesalahan jenayah, maka baginda boleh memecat perdana menteri dan melantik orang lain untuk mengambil alih jawatan itu, jelas Haniff.
Nazri membetulkan tafsiran itu, dengan menjelaskan Agong hanya boleh menggantung atau memecat Najib hanya jika undi tidak percaya terhadapnya berjaya dilakukan.
“Bagaimanapun, ahli Parlimen perlu mencadangkan nama (pengganti) kepada Agong, bukan Agong yang melantik mana-mana individu yang baginda mahu.
“Beliau (Haniff) perlu faham ini merupakan demokrasi berparlimen.
“Untuk memecat seorang perdana menteri, beliau perlu ditumpaskan melalui undi tidak percaya.
“Parlimen yang perlu memulakan tindakan terhadap Najib. Jika tidak, tidak ada cara untuk Agong memecat perdana menteri.”
Dr Mahathir pada 15 September menghadap Yang di-Pertuan Agong dan dilaporkan menyerah dokumen Deklarasi Rakyat, yang didakwa mengandungi 1.4 juta tandatangan, yang antara lain menyeru penyingkiran Najib.
Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang berkata Yang di-Pertuan memaklumkan Najib akan pertemuan itu.
Kenyataan itu juga berkata Yang di-Pertuan Agong memberitahu Dr Mahathir tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana deklarasi itu “tidak mengikut Perlembagaan”.
- FMT

No comments: