Monday 12 September 2016

Ribut badai Felda Jerangau, penduduk terpaksa berlindung dalam tandas

ribut
DUNGUN: “Kami terpaksa berlindung dalam tandas kerana masa tu bumbung rumah dah ditimpa pokok dan tandas satu-satunya tempat yang selamat,” kata Shamsiah Ibrahim menceritakan detik cemas kejadian ribut di Felda Jerangau, semalam.
Wanita berusia 55 tahun itu berkata, anaknya Nur Eliyanie Ibrahim, 20, yang baru empat hari bersalin bernasib baik kerana sempat keluar dari biliknya yang ditimpa pokok.
“Memang Allah sayangkan dia (Nur Eliyanie), baru sahaja dia keluar dari bilik dengan bayinya, pokok menimpa bilik tersebut. Kalau dia tak keluar, tak tahulah macam mana keadaan dia sekarang…kejadian terlalu pantas ribut tak sampai 10 minit pun.
“Lepas pokok tumbang menimpa rumah, makcik bawa cucu yang baru lahir tu untuk tumpang berteduh di rumah jiran di hadapan, rumah jiran lain mengalami nasib sama, juga ditimpa pokok,” katanya ketika ditemui Bernama malam tadi.
Menurutnya, beliau yang sedang minum petang bersama anak dan cucunya bertempiaran menyelamatkan diri dan berlindung di dalam tandas yang tidak rosak dibadai ribut.
Dalam kejadian ribut kira-kira 4 petang semalam itu, lebih 100 rumah penduduk dan dua tabika mengalami kerosakan, manakala sebuah Proton Wira dan sebuah lori tiga tan dihempap pokok tumbang.
Habsah Mariam, 66, berkata persiapan menyambut Aidiladha hari ini turut musnah, apabila 99 keping atap genting di rumahnya runtuh dalam kejadian itu.
“Masa tu makcik ke kedai nak beli barang untuk buat juadah hari raya, tiba-tiba cucu telefon beritahu atap rumah runtuh…rumah bagaikan banjir, habis basah bahagian ruang tamu, bilik tidur, dapur dan tandas,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam yang meninjau keadaan penduduk berkata, pihaknya bersama pejabat Felda Wilayah Terengganu dan pejabat Adun Bukit Besi akan membantu kerja membaik pulih rumah penduduk yang rosak.
“Mana-mana rumah yang rosak terlalu teruk, kita akan terus baiki hari ini dengan bantuan pemimpin setempat…pihak pejabat Felda dan pejabat adun sudah melantik kontraktor dan dalam proses mendapatkan bekalan bahan…kerugian keseluruhannya sedang ditaksir,” katanya.
Turut meninjau keadaan rumah penduduk ialah Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Saidiee Salleh.
- Bernama

No comments: