Wednesday 28 September 2016

‘Daripada kecoh usul SPR, lebih baik Selangor selesai isu air’

Datuk-Seri-Irmohizam-Ibrahim
KUALA LUMPUR: Majlis Belia Selangor berkata kerajaan negeri perlu menghentikan polemik isu persempadanan semula kawasan pilihan raya dan menumpukan masalah bekalan air.

Presidennya Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak boleh berlengah dalam menyelesaikan isu bekalan air yang membebankan rakyat kerana ia mengganggu rutin harian dan produktiviti mereka.

“Jika benar kerajaan negeri bertindak dalam menyelesaikan perkara ini, mustahil gangguan bekalan air masih berulang lagi. Hal ini jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak pernah serius dalam menangani permasalahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Irmohizam yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor berkata kerajaan pusat terbuka dalam memberi sokongan kepada penjualan konsesi air kepada Selangor bagi menjaga kebajikan rakyatnya.

Beliau berkata dalam tahun ini sahaja, isu bekalan air di Selangor berlaku 3 kali berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Penutupan loji itu disebabkan pencemaran air mentah dan melihat situasi di sekeliling Sungai Semenyih, tidak mustahil pencemaran ini terjadi berpunca daripada kawasan industri yang diwujudkan berhampiran dengan sungai berkenaan,” katanya.

- Bernama

No comments: