Friday 16 September 2016

Bebas Anwar: Muhyiddin pecahkan halangan terakhir kerjasama PH-PPBM?

mohamed-mustafa_anwar-muhyiddin_600
PETALING JAYA: Halangan terakhir kerjasama antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhapus dengan ikrar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, menurut dua penganalisis politik.
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak daripada Majlis Profesor Negara berkata isu pembebasan Anwar merupakan “halangan yang memisahkan PKR dan PPBM” manakala Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan Muhyiddin itu akan menyebabkan PPBM “diterima ramai dalam Pakatan Harapan, terutamanya PKR”.
Muhyiddin, yang merupakan Presiden PPBM, dilaporkan New Straits Times pada Rabu seabgai berkata partinya akan berusaha untuk membebaskan Anwar bersama Pakatan sekiranya pembangkang berjaya singkir BN dari Putrajaya.
Bercakap kepada FMT, Mustafa berkata ikrar itu langkah untuk memastikan PPBM diterima parti Pakatan Harapan dan memudahkan kerjasama.
Katanya langkah yang sama juga ketara dilihat dari tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan kepada Anwar yang mengambil tindakan undang-undang terhadap perlaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Beliau menambah pengikut Muhyiddin barangkali akan menyokong langkah itu.
Awang Azman, yang mengingatkan PPBM dan PKR merupakan parti pecahan Umno, berpendapat ikrar Muhyiddin strategi untuk melancarkan hubungan antara kedua parti.
Katanya kerjasama politik tidak akan terhasil tanpa kepentingan bersama dan membebaskan Anwar merupakan kepentingan bersama parti PH.
Kenyataan Muhyiddin itu, tambahnya, menjadi isyarat partinya mahu berkongsi kepentingan itu.
Memandangkan kerjasama PPBM dan PH tidak lagi boleh disangkal, Umno mempunyai sebab untuk berasa risau, katanya.
- FMT

No comments: