Wednesday 21 September 2016

DAP Selangor tetap mahu pilihan raya awal, kata Tony Pua

tony pua
KUALA LUMPUR: DAP Selangor dalam mesyuarat tergemparnya semalam bersetuju mahu kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi memintas persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Lebih baik jika Pakatan Harapan melaksanakan pilihan raya negeri sebelum persempadanan kawasan diluluskan,” kata Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua pada sidang media ibu pejabat DAP hari ini.

“Ini adalah keputusan kita tetapi keputusan akhir biarlah kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan putuskan.”

Cadangan persempadanan semula SPR melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

Bimbang dengan usul itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan Selangor mengadakan pilihan raya mengejut supaya tidak perlu menggunakan peta pilihan raya baharu, yang dianggapnya usaha “mencuri” kemenangan pilihan raya umum akan datang bagi pihak Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, cadangan Kit Siang ditolak Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

DAP Selangor menganggarkan 7 kerusi DUN di negeri itu bakal terlepas kepada BN sekiranya usul persempadanan semula kawasan seperti dicadangkan SPR diluluskan.

Kerusi tersebut termasuk Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang and Morib.

BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Pua, yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, berkata tidak timbul isu mandat rakyat belum tamat.

“Saya percaya pengundi di luar sana akan terus memberikan mandat menerusi pilihan raya negeri yang tidak dimanipulasi,” katanya.

Pua mengakui sebarang keputusan pilihan raya awal di Selangor perlu mendapatkan perkenan Sultan.

“Sudah tentu Sultan Selangor akan memberi keputusannya, tetapi dari sudut perspektif politik kita harus membuat keputusan sama ada mahu lakukan pilihan raya atau tidak.

“Tidak boleh bergantung pada tarikh yang akan ditentukan oleh Datuk Seri Najib Razak sahaja,” katanya.

- FMT

No comments: