Saturday 24 September 2016

Darell Leiking nafi terima RM5j untuk tinggalkan PKR

Chegubard
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking menafikan beliau membayar atau terima RM5 juta untuk meninggalkan PKR.
“Orang yang kenal saya tahu saya bukan jenis orang yang main politik wang,” katanya kepada FMT semalam.
Bekas naib presiden itu menyangkal laporan yang tersiar di portal berita Sayang Sabah yang memuatkan tajuk berita: “Naib Presiden PKR Kena Bayar RM5 Juta Lompat Parti?”
Laporan tersebut diambil daripada portal Agenda Daily, berdasarkan kepada catatan Facebook Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard.
Chegubard menulis calon PKR yang menarik diri sebelum hari penamaan atau melompat parti selepas memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2008 perlu bayar ganti rugi RM5 juta.
Maka dia persoalkan adakah Darell membayar RM5 juta untuk meninggalkan parti.
Darell berkata tajuk berita itu beri gambaran sama ada beliau dibayar untuk melompat parti atau membayar untuk meninggalkan PKR.
“Saya harap Sayang Sabah boleh jernihkan suasana, jika tidak saya terpaksa ambil tindakan undang-undang.”
Beliau menambah secara teknikal dirinya belum melompat kerana parti yang diusahakan bersama bekas menteri Umno Datuk Seri Shafie Apdal belum diumum secara rasmi.
Wakil rakyat itu menambah beliau dan PKR berpisah secara baik, menegaskan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan sahaja terima peletakan keahlian, bahkan memahami alasannya berbuat demikian.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Parti Progresif Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee membela Darell dengan berkata beliau tidak perlu didenda kerana meninggalkan PKR.
“Beliau masih Pembangkang, bersama parti tempatan di Sabah, berjuang untuk Sabah,” katanya di Twitter.
- FMT

No comments: