Thursday 29 September 2016

SPRM perlu hadir sekatan jalan bagi menghalang rasuah, kata C4

cynthia-macc-1
PETALING JAYA: Menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekatan jalan boleh mengurangkan kegiatan rasuah, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4).

Pengarah Eksekutif Pusat C4, Cynthia Gabriel juga mencadangkan kamera dipasang di sekatan jalan bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan.

Cynthia mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Penatua PKR, Robert Linggi, yang berkata polis perlu memantau pegawainya termasuk yang mengawal sekatan jalan, bagi menepis sebarang syak wasangka terlibat dalam penerimaan rasuah dari pendatang tanpa izin di Sabah.

Ia susulan pelbagai tuduhan terhadap pegawai polis yang menerima rasuah di sekatan jalan, termasuk rakaman video yang dimuat naik di YouTube menunjukkan pegawai meminta suapan.

Cynthia berkata kehadiran pihak ketiga seperti SPRM akan menyukarkan amalan rasuah di samping menggalakkan ketelusan.

Beliau mengakui sumber SPRM yang terhad untuk menempatkan pegawai di setiap sekatan jalan, namun pemeriksaan secara rambang masih boleh dilakukan.

“Orang ramai juga boleh mengambil tindakan proaktif dan merakamkan bukti amalan rasuah seperti kejadian meminta dan membayar wang sogokan.”

Katanya, seseorang yang memberi rasuah selepas diminta, tetapi menyerahkan rakaman kejadian itu kepada SPRM, kemungkinan besar dianggap saksi dan bukan suspek.

Awal tahun ini, Robert berkata terdapat dakwaan pegawai polis di Sabah menerima wang suapan antara RM50 dan RM300 daripada pendatang tanpa izin.

Ia susulan dakwaan pendatang tanpa izin Indonesia yang berkata mereka berjaya sampai ke Tawau menerusi rasuah, seperti dilapor media Indonesia.

- FMT

No comments: