Wednesday 28 September 2016

PPMB tolak dakwaan Muhyiddin sisihkan Dr Mahathir

muhyiddin_mahathir_bersatu
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin suka membuat keputusan tanpa perbincangan dengan pemimpin lain.
Sebaliknya, sumber yang rapat dengan pimpinan parti berusia kurang sebulan itu memberitahu FMT Muhyiddin sentiasa mengadakan perbincangan deengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam semua perkara,
“Semua perlantikan dibuat selepas berunding dengan Dr Mahathir,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.
FMT semalam melaporkan aduan beberapa pihak dalam PPBM yang kecewa dengan sikap Muhyiddin suka bertindak bersendirian sehingga menyisihkan penyokong Dr Mahathir dalam parti itu.
Laporan itu turut memetik sumber yang meramalkan akan berlaku pemberontakan dalam PPBM yang tidak puas hati dengan cara kepimipinan Muhyiddin.
Menangkis dakwaan itu, sumber memberitahu Muhyiddin tertakluk kepada perlembagaan PPBM yang memerlukan beliau berbincang dengan pengerusi dalam sebarang jawatan kanan parti.
“Pihak yang membuat dakwaan itu berniat jahat dan hanya mahu mewujudkan salah faham antara Dr Mahathir and Muhyiddin.
“Tidak juga timbul isu orang Dr Mahathir diketepikan,” kata sumber menolak dakwaan itu.
Tambahnya, Muhyiddin juga menyokong perlantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai naib presiden PPBM.
FMT yang memetik sumber semalam berkata corak kepimpinan Muhyiddin mengganggu perpaduan PPBM dan turut mengecewakan penyokong tegar Dr Mahathir, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Disebabkan ini, Khairuddin dikatakan mungkin menyertai PKR atau DAP meneruskan perjuangannya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau juga berhasrat membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menyatukan kembali Dr Mahathir” bersama Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” kata sumber itu.
Baru-baru ini ketika berucap di London, Dr Mahathir berkata Muhyiddin akan dilantik sebagai perdana menteri sekiranya pakatan PPBM dan pembangkang lain menang pilihan raya akan datang.
Dr Mahathir bagaimanapun ia bergantung kepada persetujuan parti lain.
- FMT

No comments: