Tuesday 20 September 2016

Makin ramai pelabur Malaysia beli hartanah di Australia, UK

house_australia_uk
KUALA LUMPUR: Pelaburan Malaysia dalam bidang hartanah di luar negara terutama di Australia dan United Kingdom (UK) terus meningkat, lapor laman ekonomi The Investor.
Ia berikutan penurunan mata wang pound sterling dan dolar Australia serta kelembapan pasaran di negara Asia Tenggara lain.
Laporan yang disiarkan semalam itu memetik penganalisis firma pelaburan JLL Nick Charlton sebagai berkata, sebelum UK menarik diri daripada Kesatuan Eropah (EU), hartanah di sana tidak menarik perhatian pelabur Malaysia susulan ringgit terlalu lemah berbanding pound.
Katanya, bagi Australia pula, antara faktor yang menarik pelabur Malaysia ke sana ialah terma pajakan jangka lama yang mampu memberi pulangan sama atau lebih baik berbanding hartanah komersial utama di Kuala Lumpur.
“Sesetengah hartanah berbentuk pejabat utama di Kuala Lumpur memberi pulangan 4% atau kurang, berbanding di Sidney,” katanya dipetik daripada laman itu.
Menurut laporan itu, ringgit meningkat sebanyak 1.94% berbanding dolar Australia dan 17% berbanding pound.
Laporan itu turut menyatakan minat pelabur Malaysia juga menyebabkan peningkatan dana patuh syariah di Australia dan UK.
Pada bulan lalu, syarikat pelaburan Islamik Australia, Crescent Wealth dengan usaha sama KAF Investment Funds dari Malaysia melancarkan Dana Hartanah Islamik KAF Australia, dana pertama yang memberikan pelabur bukan daripada institusi akses terus kepada hartanah komersial di sana.
Bagi UK pula, laporan itu berkata sektor pelaburan patuh syariah meningkat dengan pantas bermula dekad lalu, walaupun ia sudah wujud di negara itu sejak lebih 30 tahun lalu dengan pelabur utama kebanyakannya dari Timur Tengah.
Antara institusi utama negara yang giat dalam pelaburan hartanah di luar negara ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad serta CIMB Trust Capital.
- FMT

No comments: