Friday 30 September 2016

Opec kurangkan pengeluaran, harga minyak naik 5%

crude production
KUALA LUMPUR: Harga minyak meningkat lebih 5% susulan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) mengurangkan pengeluaran yang mendorong saham berkaitan minyak dan gas di peringkat global dan tempatan diniagakan tinggi hari ini.
Mesyuarat Opec selama 3 hari, yang berakhir semalam, akhirnya mendapat persetujuan daripada negara-negara pengeluar minyak utama untuk mengurangkan pengeluaran minyak buat kali pertama sejak 2008.
Hari ini, harga minyak naik 5%, dengan dagangan West Texas Intermediate diniagakan pada US$46.75 setong.
“Langkah ini meningkatkan harga komoditi tersebut, memberi manfaat kepada saham yang berkaitan termasuk unit syarikat minyak negara, Petronas,” kata peniaga.
Pada penutup, saham Petronas Gas meningkat 2 sen kepada RM21.88 dan Petronas Chemicals menokok 9 sen kepada RM6.69.
Saham minyak dan gas yang lain, SapuraKencana, Bumi Armada dan Petron menyaksikan saham mereka naik 7 sen kepada RM1.57, 3 sen kepada RM72 sen dan setengah sen kepada RM4.05.
Dilaporkan di bawah perjanjian tersebut, pengeluaran minyak OPEC dijangka berkurangan kepada 32.5 hingga 33 juta tong sehari daripada 33.4 juta.
Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Mercury Securities Edmund Tham berkata perjanjian Opec untuk mengurangkan pengeluaran minyak dijangka memberi sokongan jangka pendek kepada harga minyak.
“Keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mungkin sementara dan peniaga masih berhati-hati dan ragu bahawa harga minyak akan terus rendah untuk beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.
Faktor lain yang akan menyediakan momentum kepada indeks tempatan pada minggu-minggu akan datang, Tham berkata pelabur akan memberi perhatian kepada Bajet 2017 yang akan datang untuk melihat insentif yang ditawarkan.

- Bernama

No comments: