Thursday 29 September 2016

NSTP tutup 2 kilang, kata bekas pengarang

nstp
PETALING JAYA: Seorang bekas pengarang kanan New Straits Times (NST) mendedahkan syarikat akhbar itu akan menutup 2 kilang percetakannya, dipercayai kesan daripada kemerosotan jualan akhbar dan hasil iklan.

Bekas pengarang kumpulan NST, Mustapha Kamil berkata kilang di Ajil di Terengganu dan Senai di Johor akan ditutup, dengan pekerja terbabit diberi pilihan berpindah ke kilang di Prai dan Shah Alam, atau berhenti.

“Saya percaya penutupan kedua kilang tersebut adalah sebahagian dari langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan dari terus menanggung kerugian, berikutan merudumnya jualan akhbar dan iklan,” kata Mustapha dalam catatan Facebook beliau.

Selain akhbar berbahasa Inggeris NST, syarikat New Straits Times Press (NSTP) yang dimiliki Media Prima Berhad juga menerbitkan Berita Harian dan Harian Metro.

Baru-baru ini, laporan oleh Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan surat khabar di Malaysia merosot tahun lepas berbanding tempoh yang sama 2 tahun sebelumnya.

Sebaliknya, penggunaan media digital mencatatkan peningkatan 148%. Pada 2014, ABC melaporkan jualan NST susut lebih 30%.

Mustapha berkata syarikat akhbar itu perlu jujur mengenai punca di sebalik prestasinya, dan berharap ia akan “meneliti sebab-sebab sebenar”.

“Saya percaya pihak syarikat amat arif tentang faktor yang menyebabkan penurunan prestasi produknya itu. Anda tidak boleh lagi menidakkan apa yang benar dan anda juga tidak lagi mempunyai banyak masa,” katanya.

Mustapha meletak jawatan Mei lalu kerana kecewa dengan laporan berat sebelah NST mengenai kemelut 1MDB.

Beliau yang berkhidmat 26 tahun bersama akhbar itu sebelum ini pernah mempersoalkan etika kewartawanan akhbar pro-Umno itu.

“Bagaimana kamu hendak bersemuka dengan wartawan, pengiklan dan seterusnya orang awam? Siapa yang bohong sekarang?” kata Mustapha ketika mengulas ketiadaan berita mengenai tindakan menyita aset 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Julai lalu.

- FMT

No comments: