Friday 23 September 2016

Polis akui masih gagal tarik minat Cina sertai PDRM

igp1
KUALA LUMPUR: Polis mengakui masyarakat bukan Melayu masih tidak berminat menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun pelbagai usaha dilakukan menarik mereka menyertainya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak bersetuju ia berpunca daripada sikap prejudis masyarakat berkenaan.

“Ia bukan kerana prejudis tetapi kerana tidak minat. Kalau tak minat menyertai, apa kita boleh buat?” soal Khalid, ketika menjawab wartawan pada majlis pelancaran karnival 1 Aman Week di Putrajaya hari ini.

PDRM sebelum ini pernah melonggarkan beberapa syarat pengambilan selain mengkaji aspek penambahbaikan perkhidmatan bagi menarik penyertaan lebih ramai kaum Cina dalam pasukan keselamatan itu.

Ini termasuk pemohon Cina hanya perlu lulus Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus keputusan V/6/9 dalam ujian penglihatan mata atau dengan menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

Pada 2014, polis mengumumkan menyasarkan penyertaan 5,000 pegawai berpangkat rendah dari kaum itu.

Ia berikutan statistik sehingga 2013 yang menunjukkan dominasi tidak seimbang dalam pasukan polis, iaitu 90,156 Melayu, 3,659 India dan hanya 1,974 Cina.

Khalid berkata respon terhadap usaha polis menarik minat kaum itu tidak berjaya, tetapi pihaknya tetap mengalu-alukan permohonan mereka.

“Sesiapa pun boleh memohon dan kita akan membuat pemilihan yang terbaik. Sudah tentu, kita mengalu-alukan semua bangsa memohan jawatan dalam pasukan ini. Peringkat konstabel, sarjan atau inspektor,” katanya.


- FMT

No comments: