Monday 19 September 2016

Bukan PM saja perlu jawab dalam waktu pertanyaan

pandikar
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memutuskan untuk tidak ‘menyempitkan’ sesi soalan kepada perdana menteri saja, sebaliknya membukanya kepada semua menteri.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata negara lain laksanakan ‘Waktu Pertanyaan kepada Perdana Menteri’ (PMQT), sementara Malaysia melebarkan kepada ‘Waktu Pertanyaan Menteri’.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ketika sesi taklimat ‘Waktu Pertanyaan Menteri’ di Parlimen hari ini.

Khalid bertanya mengapa Dewan Rakyat tidak mencontohi negara lain yang melaksanakan ‘Waktu Pertanyaan kepada Perdana Menteri’.

“Sistem Westminster (yang kebanyakannya diamalkan negara Komanwel) ada sesi pertanyaan perdana menteri. Kita pun sepatutnya begitu kerana hampir tiada peluang untuk tanya (perdana menteri),” katanya yang turut kecewa apabila Datuk Seri Najib Razak tidak hadir pada sesi taklimat hari ini.

Menjawab soalan itu, Pandikar berharap ahli Aarlimen dapat melihat dulu perjalanan sesi tersebut yang akan dimulakan pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan.

“Jika perdana menteri sendiri yang jawab pun, tetap ada yang tidak berpuas hati,” katanya.

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa turut bertanya mengenai kaedah pemilihan soalan yang akan dijawab.

Pandikar berkata ia akan ditetapkan oleh pejabat speaker dan setiausaha Parlimen berdasarkan keutamaan isu, dan berharap semua pihak memberikan kepercayaan terhadapnya untuk melaksanakan tugas itu.

“Kami akan menjaga kepentingan semua pihak (kerajaan dan pembangkang). Jika anda tidak memberikan kebebasan untuk kami laksanakannya, ia bermakna anda tidak percaya kami,” katanya.

Menerusi sesi itu, ahli parlimen perlu menghantar soalan 24 jam sebelum sesi tersebut, yang akan diadakan pada setiap Selasa dan Khamis, pada 10 hingga 10.30 pagi.

Memetik laporan media DAP Roketkini pada 12 Disember 2014, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Pato mendakwa Najib hanya hadir sebanyak 26 kali sejak 2009 hingga April 2014.

Pada sidang media selepas taklimat itu, Pandikar berkata soalan yang ditujukan kepada Jabatan Perdana Menteri boleh dijawab mana-mana menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkaitan.

“Namun jika perdana menteri datang dan ingin menjawab soalan kepada Kementerian Kewangan, tiada masalah,” katanya.

Pandikar berkata, pelaksanaan sesi ini menandakan 90% daripada fasa pertama transformasi Parlimen sudah dilakukan.

“Cuma cadangan berhubung penubuhan beberapa jawatankuasa masih lagi dibincangkan Kabinet,” katanya dan memaklumkan fasa kedua mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992.

Beliau berkata, ia bagi memperbaiki persepsi percampuran antara eksekutif dengan legislatif.

“Dengan akta ini, tiada lagi menteri yang ditugaskan menjaga Parlimen,” katanya.

- FMT

No comments: