“Inilah realiti yang perlu diterima ahli-ahli serta pemimpin Umno dan rakyat. Inilah ‘ibu’ kepada segala permasalahan dan ketidakstabilan yang sedang melanda politik dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, membalas kritikan terhadapnya oleh bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Krisis Terengganu yang bermula pada 2014 selepas Ahmad Said dipaksa melepaskan jawatannya kepada Razif, kembali hangat berikutan tindakan menghadapkan Adun Kijal itu ke Lembaga Disiplin Umno, selepas mengkritik kepimpinan negeri dan Datuk Seri Najib Razak.
Sebarang tindakan memecat Ahmad Said, atau keputusannya sendiri untuk keluar Umno, akan mengubah kedudukan BN dalam Dewan Undangan Negeri, yang memiliki 17 kerusi, sementara pihak pembangkang mempunyai 15.
Kedudukan Razif juga dikatakan terus ditekan ekoran kritikan terhadapnya daripada exco negeri, Ghazali Taib, yang juga Adun Ajil.
Semalam, Ahmad Said memberitahu FMT beliau sudah lama bersabar walaupun mendakwa cuba dijatuhkan Razif.
“Setahun lebih saya tidak ganggu pentadbiran kerajaan, saya nak perhatikan gelagat-gelagat menteri besar baharu yang bercakap dengan penuh pembohongan dan sebagainya.
“Sepatutnya dia berbaik dengan saya bukan bermusuh dengan saya,” kata Ahmad Said.
Razif dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menyalahkan Ahmad Said atas prestasi BN pada PRU lepas.
“Kesimpulannya kerajaan BN yang ada di Terengganu sedang berhempas pulas memikul beban tanggungan yang ditinggalkan oleh menteri besar lama.
“Sekarang tiba-tiba ada yang dengan megah mengaku cuba menjadi ‘penyelamat’. Sepatutnya bekas menteri besar itu membantu saya menstabilkan Umno dan membuat persediaan menghadapi PRU-14,” katanya.
Razif, yang ditarik balik anugerah “Datuk Seri” April lalu oleh Sultan Terengganu, mengingatkan Ahmad Said supaya tidak mengheret rakyat dan pihak istana dalam agenda politiknya dengan mengugut mengadakan perhimpunan atau memaksa pilihan raya negeri.
“Usahlah libatkan unsur-unsur istana di dalam krisis ketika ini seperti membuat gerakan gelombang kuning dan macam-macam perkara lain yang dilihat cuba mencemarkan institusi diraja,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment