Monday 29 August 2016

Kerajaan sedia tutup sekolah lagi jika jerebu bertambah buruk

MAHDZIR_KHALID
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini berkata sekiranya keadaan jerebu menjadi kritikal, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain menutup sekolah seperti yang dilakukannya pada tahun lepas.

Beliau turut menolak cadangan bilik darjah di sekolah kerajaan dipasang alat penghawa dingin.

Jerebu hari ini dilihat semakin buruk di beberapa bandar di Lembah Klang termasuk Putrajaya, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Bagaimanapun, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) setakat 2.00 petang menurut Jabatan Alam Sekitar adalah di paras sederhana, dengan Cheras dan Nilai mencatatkan bacaan tertinggi iaitu masing-masing 84 dan 82.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.

Tahun lalu, sekolah di Malaysia dan Singapura ditutup beberapa kali susulan keadaan jerebu pada paras tidak sihat disebabkan kebakaran ladang di Indonesia.

Hawa dingin

Mahdzir sebelum itu ditanya cadangan memasang alat penghawa dingin di bilik darjah bagi memelihara pelajar daripada pencemaran udara.

“Kita ada 10,179 buah sekolah. Boleh bayangkan kalau nak letak penghawa dingin di semua sekolah itu dengan kos kita nak kena tanggung setiap bulan, utiliti setiap bulan,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Pendidikan dan Yayasan Peneraju Bumiputera Program Peneraju Tunas Geliga di sini hari ini.

Penasihat Persatuan Ibu Bapa sekolah Cina Jia Zong, Edward Neoh hari ini dilaporkan berkata sekolah kerajaan perlu menimbang pemasangan penghawa dingin di bilik darjah supaya sekolah tidak perlu ditutup sekiranya jerebu meruncing.

Mahdzir bagaimanapun berkata sekolah yang mampu memasang penghawa dingin adalah kerana sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta lembaga pengelola.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohd Ali Hassan ketika dihubungi FMT berpendapat, cadangan memasang penghawa dingin di bilik darjah boleh dilaksanakan tetapi bergantung kepada dana sekolah.

“Bagi sekolah biasa yang ada kemampuan saya rasa tak patut dihalang. Tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai dana yang cukup, mungkin penggunaan kipas mencukupi. Kipas yang ada perlu dibaiki atau ditambah.

“Kemudian saya kira persekitaran sekolah mesti banyak tumbuh-tumbuhan hijau. Konsep sekolah yang hijau di samping jangka masa panjang amat penting. Penghawa dingin saya rasa ok dapat membantu tetapi dari jangka masa panjang ia memberi kesan yang kurang baik kepada alam sekitar,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan menyatakan pihaknya menolak cadangan agar memasang penghawa dingin di bilik darjah kerana kos yang tinggi.

“Melainkan negara kita ini duit dah banyak sangat. Kalau nak pasang penghawa dingin tu, pasang satu Malaysia tak mungkin akan berlaku.

“Sebab banyak lagi benda yang asas, masih lagi tak ada di peringkat sekolah itu. Kalau sekiranya PIBG itu duit dia banyak, kalau dia pasang, NUTP tak ada halangan sekolah nak pasang menggunakan duit PIBG contohnya,” tegasnya.

- FMT

No comments: