Wednesday 31 August 2016

Jualan Proton lemah, DRB-Hicom rugi

drb-proton
KUALA LUMPUR: DRB-Hicom berkata pendapatan daripada perniagaan utamanya iaitu automotif menjunam 21% tahun ini, dan antara sebabnya ialah akibat penurunan jumlah jualan kereta Proton dalam tempoh suku pertama tahun ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat automotif dan logistik itu berkata kejatuhan itu berlaku susulan keadaan industri yang lemah sepanjang April hingga Jun apabila jumlah jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia jatuh 6.3% jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.
Memetik laporan Nikkei Asian Review, jualan kenderaan penumpang, yang membabitkan hampir 90% nilai keseluruhan industri di Malaysia, jatuh 15% antara Januari hingga Jun, menurut data Persatuan Automotif Malaysia sementara kenderaan komersial, yang merangkumi jualan selebihnya jatuh 13% sepanjang tempoh itu.
Sehubungan itu, DRB-Hicom berkata ia akan terus memfokuskan kepada tindakan menyatukan perniagaannya selepas peningkatan ketara kerugian bersihnya pada suku pertama fiskal tahun ini, berbanding tahun lalu.
Nikkei Asian Review melaporkan kerugian bagi 3 bulan pertama berakhir 30 Jun bagi syarikat itu berjumlah RM169.3 juta, berbanding kerugian RM19.7 juta tahun lalu, kata syarikat itu.
Pendapatan suku tahunan menurut 18% dari tahun ke tahun kepada RM2.5 bilion daripada RM2.95 bilion setahun sebelum ini.
“Melihat kepada keadaan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dan pasaran kompetitif, kumpulan itu akan kekal fokus kepada penyatuan perniagaannya untuk memastikan pertumbuhan dan kemapanan perniagaan yang berterusan.
“Dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang lebih perlahan, pencapaian kumpulan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2017 akan terus kekal mencabar,” kata DRB-Hicom.
DRB-Hicom, yang turut memasang kenderaan seperti motosikal Honda dan kereta Audi, bergelut dengan kerugian membuat Proton sejak pengambilalihan daripada syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional pada 2012.
Awal tahun ini, kerajaan bersetuju memberikan geran pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton. Sebagai tambahan, Proton perlu mendapatkan rakan kongsi strategik bagi membantunya dalam penyelidikan dan bersaing di peringat antarabangsa dalam tempoh setahun, sebagai sebahagian perjanjian pinjamannya.
Bagi memotong kebergantungan sepenuhnya terhadap perniagaan automotif, DRB-Hicom menyasarkan untuk meningkatkan sahamnya dalam perniagaan berorientasikan perkhidmatan dan pendapatannya kepada 50% dalam tempoh 5 tahun.
Perniagaan itu, termasuk daripada logistik kepada pelupusan sampah, dan pada masa ini ia memberi kurang 20% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
DRB-Hicom juga mengambil tindakan menggabungkan aset logistiknya termasuk pos, kargo udara dan pengangkutan.
“Integrasi perniagaan logistik akan mengurangkan kebergantungan kepada sektor automotif dan membantu menyelaraskan dan mempertingkat sinergi antara perniagaan pos dan logistik, selain untuk memanfaatkan permintaan yang berkembang dalam perkhidmatan e-perniagaan,” kata DRB-Hicom dipetik daripada Nikkei Asian Review.
Saham DRB-Hicom pada Selasa berakhir 5.7% lebih tinggi pada RM1.31 sementara penanda aras FTSE Bursa Malaysia jatuh 0.2%.
- FMT

No comments: