Wednesday 24 August 2016

Kawalan maklumat Scorpene Malaysia “mantap”, kata timbalan menteri

Datuk-Seri-Mohd-Johari-Baharum
PETALING JAYA : Timbalan Menteri Pertahanan beri jaminan maklumat keselamatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terjejas, ekoran kebocoran maklumat mampu tempur kapal selam Scorpene milik India baru-baru ini.
Datuk Seri Mohd Johari Baharum menegaskan maklumat ketenteraan berdarjah khasnya aset strategik negara sentiasa dikawal rapi.
“Peraturan dan arahan cukup jelas. Terdapat langkah pencegahan yang mantap dan ianya tidak boleh dikompromi kerana ia ada implikasi pada keselamatan negara,” katanya kepada FMT hari ini.
“Jika ada mereka yang ada niat untuk bocorkan maklumat, mereka ini boleh dianggap pengkhianat negara.”
Johari berkata demikian mengulas kejadian kebocoran data yang memperincikan kemampuan armada kapal selam baharu India.
The Australian melaporkan pembina kapal, DCNS, dalam komunikasi dengan pemerintah Australia memberi bayangan kebocoran berlaku di pihak India, bukannya di pihak Perancis.
KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak dibina melalui usahasama DCNS dan syarikat Sepanyol, Navantia.
Meskipun maklumat ketenteraan disahkan selamat dan tidak melibatkan aset negara, Johari memaklumkan kementerian tidak akan mengambil mudah perkembangan itu.
“Yang utama sekali adalah laporan atau lebih tepat dakwaan berkenaan perlu disiasat dan disahkan terlebih dahulu,” katanya, “maklumat jenis apa yang dimaksudkan dan tahap darjah keselamatan maklumat berkenaan.”
Johari menambah rakyat tidak perlu bimbang kerana tahap operasi dan keselamatan kapal selam masih utuh, dan kapal selam negara unik berbanding kapal milik Chile dan India daripada segi spesifikasi, ciri-ciri serta keupayaan.
- FMT

No comments: